Pelabur kembali yakin dengan Malaysia - PM

Pelabur kembali yakin dengan Malaysia – PM

ANWAR Ibrahim ketika berucap pada Forum Ekonomi Malaysia 2026 (FEM 2026) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keyakinan pelabur terhadap Malaysia kembali pulih dengan salah satu isyarat jelas terhadap pemulihan itu adalah pengukuhan nilai ringgit di pasaran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keyakinan itu merupakan petanda positif, mencerminkan pengurusan fiskal yang berdisiplin serta kesungguhan baharu dalam tadbir urus.

Beliau berkata, faktor luaran sememangnya memainkan peranan, namun mata wang pada akhirnya mencerminkan kepercayaan terhadap institusi, hala tuju dasar dan keyakinan bahawa sesebuah negara ditadbir dengan disiplin serta tujuan yang jelas.

Justeru, katanya, kepercayaan itu sedang dibina semula kerana Kerajaan Madani mengambil pendirian yang jelas, berprinsip dan tegas dalam soal tadbir urus.

“Tiada toleransi terhadap rasuah dan tiada pengecualian kepada golongan berkepentingan. Tanpa akauntabiliti, tiada kredibiliti dan tanpa kredibiliti, tiada pertumbuhan yang mampan.

“Ini bukan kempen untuk sensasi media, dan bukan juga fasa sementara. Ia adalah pengiktirafan bahawa keyakinan jangka panjang bergantung kepada kepastian bahawa undang-undang terpakai secara adil kepada semua.

“Apabila penguatkuasaan dilaksanakan secara konsisten, kepercayaan dapat dipulihkan dan institusi memperoleh semula kewibawaannya,” katanya pada Forum Ekonomi Malaysia 2026 (FEM 2026), di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi bagi mengembalikan keyakinan pelabur sebaliknya reformasi institusi perlu diteruskan tanpa henti dan kompromi.

“Kita memperkukuh institusi agar integriti tidak bergantung kepada individu, tetapi kepada sistem. Peraturan mesti mengatasi peribadi. Reformasi mesti kekal melangkaui kitaran politik.

“Usaha ini mula menunjukkan hasil. Pelabur memberi respons terhadap konsistensi dan kebolehramalan. Mereka melihat tadbir urus yang lebih kukuh, hala tuju yang lebih jelas, serta sebuah negara yang serius mengenai kestabilan jangka panjang.

“Ini tercermin dalam keputusan pelaburan mereka dan penilaian semula terhadap risiko ekonomi Malaysia,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, keyakinan pelabur untuk kembali menjadikan Malaysia destinasi pelaburan, mesti diterjemahkan kepada kehidupan yang lebih baik khususnya buat seluruh rakyat.

“Tekanan kos sara hidup adalah nyata dan dirasai setiap hari oleh rakyat. Oleh itu, strategi ekonomi kita menggabungkan disiplin makroekonomi dengan sokongan bersasar, bagi melindungi kuasa beli dan memastikan pertumbuhan meningkatkan taraf hidup sebenar,” katanya.

Tegas Perdana Menteri, kemajuan dicapai tidak berlaku secara kebetulan namun merupakan hasil usaha yang disengajakan untuk memulihkan kepercayaan terhadap kewangan awam, mengembalikan kredibiliti institusi, dan menegakkan integriti dalam pelaksanaan kuasa.

Katanya, keyakinan tidak terhasil daripada slogan atau langkah jangka pendek namun terbit daripada konsistensi, kejelasan hala tuju, serta jaminan bahawa reformasi dilaksanakan secara berterusan, bukan bersifat sementara.

“Namun, harus ditegaskan bahawa angka semata-mata tidak menentukan kejayaan. Pasaran mungkin memberi respons terhadap data, tetapi rakyat menilai berdasarkan pengalaman hidup.

“Pertumbuhan mesti dirasai di rumah, di tempat kerja, dan melalui kos sara hidup yang ditanggung oleh keluarga biasa. Jika tidak, ia hanya tinggal angka kosong,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN