PETALING JAYA: Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyatakan pendirian bagi terus menyokong kepimpinan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin disebalik tekanan dan desakan meletak jawatan.
Ketua Srikandi Muda Bersatu, Nurul Ezzati Azmi berkata, kestabilan kepimpinan perlu diberi keutamaan bagi memastikan hala tuju perjuangan parti tidak terpesong ketika berdepan pelbagai tekanan dan ujian.
“Muhyiddin telah membuktikan keupayaan memimpin dalam keadaan sukar dengan pendekatan yang tenang dan berpengalaman.
“Kekuatan parti terletak pada kesatuan serta disiplin dalaman, bukan perbezaan pandangan yang dizahirkan secara terbuka sehingga mengganggu keharmonian ahli,” katanya satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee yang mendesak Muhyiddin melepaskan jawatan berundur bagi membolehkan proses pemulihan parti dapat dilaksanakan dengan berkesan bagi mengembalikan hala tuju perjuangan.
Dalam pada itu Nurul Ezzati berkata, sebarang pandangan atau penilaian terhadap kepimpinan wajar dibincangkan melalui saluran parti yang berhemah dan tertutup demi menjaga maruah serta masa depan Bersatu
“Srikandi Muda memilih untuk memperkukuh, bukan menggugat; menyokong, bukan menekan. Parti yang sedang diuji memerlukan ketenangan, bukan kebisingan,” katanya.
Tambah beliau, Srikandi Muda Bersatu akan terus berdiri teguh bersama Presiden bagi memastikan perjuangan parti kekal fokus, utuh dan berdaya tahan. – UTUSAN










