PETALING JAYA: Barisan kepemimpinan Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berpendirian untuk terus setia kepada parti itu dan berdiri teguh di belakang Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden sah yang dipilih melalui Perhimpunan Agungnya.
Kenyataan bersama itu mewakili sokongan 15 daripada 24 Exco Srikandi Bersatu selain 10 daripada 14 Ketua Srikandi Negeri serta Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Tetap Srikandi.
Menurut kenyataan itu, mereka turut berpegang teguh kepada ketetapan yang diputuskan perwakilan semasa Perhimpunan Agung Tahunan lalu.
“Sebarang percubaan melemahkan kepemimpinan melalui tekanan terbuka, naratif perpecahan atau gerakan tersirat disifatkan sebagai perbuatan tidak beretika serta bercanggah dengan semangat perjuangan parti.
“Semua keputusan berkaitan hala tuju sayap dan parti perlu dibuat melalui saluran rasmi, proses musyawarah serta struktur kepemimpinan sah, bukan melalui kenyataan individu atau tindakan unilateral yang boleh mengundang kekeliruan ahli serta melemahkan kekuatan parti dari dalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu turut menolak sekeras-kerasnya budaya politik yang mencetuskan polemik terbuka sehingga mencalar imej parti selain menegaskan kestabilan parti merupakan tanggungjawab bersama semua pihak.
“Dalam suasana mencabar ketika ini, semua ahli digesa menunjukkan kematangan politik, mengelakkan kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan.
“Semua ahli juga perlu memberi ruang kepada kepimpinan tertinggi parti menguruskan perkara berkaitan mengikut lunas perlembagaan serta saluran yang betul,” katanya.
Mereka berkata, fokus utama ketika ini perlu kekal kepada perjuangan parti dan amanah rakyat serta seluruh ahli Srikandi di semua peringkat perlu terus bersatu, tenang dan istiqamah dalam mempertahan perjuangan agama, bangsa dan negara.
“Kami berharap kesatuan parti terus dipelihara serta setiap urusan perjuangan dipermudahkan,” katanya.
Jumaat lalu, Bersatu memecat 17 ahlinya termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta beberapa pemimpin Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti merangkumi empat ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Selain Hamzah, turut dipecat ialah Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan dan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.
Mereka dipecat kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu, namun berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat berkenaan dikemukakan. – UTUSAN










