PETALING JAYA : Seramai sembilan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertukar berkuat kuasa 16 Mac ini.
Setiausaha PDRM, Deputi Komisioner Abdul Rahman Kassim berkata, mendahului senarai adalah Ketua Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Azman Abd Razak yang kini memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas dengan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).
Katanya, Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof pula akan dilantik sebagai Ahli Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ) Kementerian Dalam Negeri.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Hoo Chuan Huat bertukar sebagai Timbalan Ketua Polis Johor dengan memangku pangkat Deputi Komisioner (DCP).
“Penolong Pengarah (D3) Risikan/Operasi ATIPSOM, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Asisten Komisioner (ACP) Fauzi Mohd. Yusof pula dilantik sebagai Ketua Kawalan dan Perlindungan Sempadan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner (SAC),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak, ACP Lee King Chuan turut terlibat dalam pertukaran berkenaan.
Diikuti Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Johor, ACP Mohd. Zairi Badderul @ Badrol selain Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Zaihairul Idrus dan Ketua Penolong Pengarah (Risikan), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Bukit Aman ACP Amran Md Jusin dengan kesemua mereka memangku pangkat SAC.
“Turut bertukar iaitu Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Kuala Lumpur, Superintenden Chua Kok Lian yang yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Hilir Perak dengan memangku pangkat ACP,” katanya. – UTUSAN










