SEPANG: Penulis blog ‘Sang Kelembai’, Datuk Abd. Zarin Mohd. Yasin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu menerusi laman Facebook miliknya.
Abd. Zarin selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan sebaik pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Mengikut pertuduhan, OKS secara sedar didakwa membuat penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya
menerusi aplikasi Facebook menggunakan akaun `Zaharin Mohd Yasin’ pada 4.42 petang, 9 November 2025.
Hantaran yang mengandungi maklumat palsu tersebut didakwa mengaitkan jawatan seorang individu dan peranannya di sebuah kementerian terhadap sesuatu isu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, serta denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.
Pihak pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Faten Hadni Khairuddin dan Pegawai Pendakwa MCMC, Mohamad Azmir Mohd. Razali memohon jaminan sebanyak RM10,000.
Namun begitu, peguam Sureshmurti Ramani yang mewakili Abd. Zarin memohon jaminan lebih rendah kerana OKS berusia 74 tahun serta menghidap penyakit kencing manis kronik.
Peguam berhujah, OKS tidak mempunyai pekerjaan tetap bagaimanapun perlu menanggung seoorang anak yang masih belajar di universiti swasta serta isteri yang merupakan suri rumah.
Hakim kemudian membenarkan OKS diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen. – UTUSAN










