SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Pembangunan Bandar Pintar Selangor antara kerajaan negeri dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), semalam.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sebanyak RM450 juta peruntukan disalurkan kepada Kerajaan Selangor melalui MCMC bagi pelaksanaan pembangunannya.
Katanya, MoU tersebut akan memberikan tumpuan kepada tiga bidang utama di bawah penyelarasan dan pemantauan Pusat Pengoperasian Pintar dan Bersepadu (SIIOC).
“Pembangunan infrastruktur kesalinghubungan pintar, peningkatan keselamatan awam dan pengurusan trafik serta pelaksanaan pengurusan banjir pintar.
“Pembangunan infrastruktur kesalinghubungan pintar akan menjadi asas kepada bandar pintar, merangkumi perluasan rangkaian gentian optik, kemudahan Wi-Fi awam serta sokongan kepada pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) bagi memastikan rakyat Selangor menikmati capaian internet yang lebih luas, stabil dan berkualiti,” katanya pada majlis itu.
Pertukaran MoU itu dibuat antara Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad. Tajuddin dengan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din yang turut disaksikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Ibu negeri Selangor itu dipilih lokasi pembangunan bandar pintar kerana ia mempunyai kompleksiti dengan skala sesuai, selain pihak berkuasa tempatannya (PBT) terkehadapan dalam pelaksanaan inisiatif Smart City pada tahap 2.
Pembangunan Bandar Pintar Selangor merupakan program transformasi menyeluruh yang meletakkan negeri ini sebagai progresif digital serta disokong pengukuhan infrastruktur digital, penggunaan teknologi pintar baharu dan rangkaian 5G menjelang 2030.
Jelas Fahmi, inisiatif itu akan meningkatkan kualiti hidup melalui perkhidmatan awam yang lebih cekap dan responsif, persekitaran bandar yang lebih selamat, serta sistem pengurusan trafik dan bencana yang lebih tersusun dan berasaskan data. – UTUSAN










