PETALING JAYA: Sebanyak 50 peralatan SIM Box dan 5,000 kad SIM serta pelbagai kelengkapan berkaitan dirampas dalam serbuan ke atas sebuah premis di Kajang, baru-baru ini dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan peralatan telekomunikasi bagi jenayah dalam talian.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, rampasan itu dilakukan menerusi satu operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut MCMC, peralatan berkenaan sering disalahgunakan untuk penciptaan akaun palsu dalam talian secara besar-besaran, memintas kawalan keselamatan platform digital serta memudahkan kegiatan penipuan dan jenayah siber lain.
“MCMC memandang serius penyalahgunaan peralatan telekomunikasi termasuk SIM Box dan kad SIM yang digunakan bagi tujuan jenayah.
“Perbuatan ini bukan sahaja menjejaskan integriti rangkaian komunikasi negara, malah mengancam keselamatan pengguna,” katanya dalam kenyataan.
MCMC menjelaskan operasi dan siasatan kes tersebut diterajui sepenuhnya oleh PDRM, manakala siasatan oleh MCMC dijalankan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
Katanya, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan PDRM serta agensi penguatkuasaan lain bagi menjamin keselamatan negara, mencegah penyalahgunaan perkhidmatan telekomunikasi dan memastikan pematuhan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Bagi kesalahan mengikut Seksyen 239 Akta 588, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
MCMC turut menegaskan bahawa penyalahgunaan SIM Box dan kad SIM bagi mencipta akaun palsu dalam talian merupakan ancaman serius terhadap keselamatan negara dan ekosistem digital. – UTUSAN











