Rekod jenayah bekas banduan akan dipadam melalui SPENT - Utusan Malaysia

Rekod jenayah bekas banduan akan dipadam melalui SPENT

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kelompok bekas banduan di negara ini akan mendapat peluang kedua bebas daripada rekod jenayah melalui mekanisme nyahaktif atau SPENT dengan pindaan Akta Pendaftaran Jenayah dan Orang Yang Tidak Diingini 1969 (Akta 7).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia akan membolehkan individu yang telah menjalani hukuman dan kekal bebas daripada kesalahan baharu dalam tempoh ditetapkan dikecualikan daripada rekod jenayah tertentu.

Katanya, mekanisme nyahaktif akan terpakai selepas individu yang disabitkan kesalahan melalui keseluruhan proses perundangan termasuk rayuan, didaftarkan dalam daftar penjenayah serta menyelesaikan hukuman, denda atau kompaun yang dikenakan.

“Sekiranya individu berkenaan tidak mengulangi kesalahan dalam satu tempoh munasabah, maka rekod jenayah tertentu boleh dianggap sebagai telah dinyahaktif.

“Tempoh yang munasabah itu adalah tempoh yang kita katakan bahawa dia boleh dianggap sebagai tiada rekod.

“Istilah tadi, SPENT. Jadi dengan pindaan ini, individu itu, kerana dia tidak melakukan kesalahan berulang dalam tempoh yang ditetapkan, kita panggil crime free period,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) berhubung cadangan kerajaan menghapuskan rekod-rekod bekas banduan bagi memudahkan golongan itu mencari pekerjaan.

Saifuddin berkata, pengecualian itu tidak melibatkan kesalahan serius dan tertakluk kepada ketetapan yang akan diputuskan Parlimen semasa perbahasan pindaan akta berkenaan.

Katanya, cadangan pindaan Akta 7 itu telah dibentangkan dan dipersetujui Jemaah Menteri pada 21 Mei 2025, sekali gus membolehkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memulakan proses pindaan secara rasmi.

“Dalam merangka mekanisme berkenaan, KDN turut merujuk amalan terbaik antarabangsa termasuk di United Kingdom (UK), Singapura, Brunei dan Australia yang membenarkan pengecualian rekod jenayah tertentu selepas tempoh bebas jenayah.

“Cadangan ini kini berada pada peringkat semakan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan saya bercadang untuk membentangkannya pada sesi Parlimen tahun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN