NIBONG TEBAL : Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kini sedang merangka satu pelan induk bagi industri penternakan babi sebagai garis panduan menyeluruh kepada pemain-pemain industri di seluruh negara.
Timbalan Menterinya, Datuk Chan Foong Hin berkata, pelan itu dijangka memfokuskan kepada pembangunan mampan khususnya dalam aspek pengurusan sisa haiwan berkenaan bagi mengelakkan impak yang besar terhadap alam sekitar.
“Saya melihat isu utama dalam penternakan babi ini adalah berkaitan dengan alam sekitar. Tetapi, jika ia tidak diurus dengan baik, maka, masalah lain seperti isu sosial atau lebih buruk, isu sensitiviti antara kaum dan agama juga boleh timbul.
“Justeru, atas sebab itu jugalah, saya berterima kasih kepada (kerajaan) Pulau Pinang kerana mengambil inisiatif untuk menunjukkan kepada kita bagaimana cara terbaik untuk menguruskan sisa buangan ini secara lebih bertanggungjawab,” katanya.
Beliau ditemui pemberita semasa menghadiri Majlis Pelancaran Projek Kemudahan Biogas Berpusat Kampung Valdor dan lawatan ke tapak projek yang turut dihadiri oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di sini, hari ini.
Dibangunkan oleh perintis infrastruktur hijau tempatan, Timeless Green Sdn. Bhd. dengan kerjasama firma kejuruteraan terkemuka, Minconsult Sdn. Bhd., kemudahan biogas berpusat itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam melaksanakan penyelesaian teknikal yang kukuh dan diperakui bagi melindungi komuniti, sambil menjana tenaga bersih.
Fasa permulaan dijangka melibatkan 30 buah ladang di kawasan sekitar Valdor di sini di mana sisa ternakan tersebut ketika ini telah diuruskan melalui sistem rawatan terpusat yang profesional, memenuhi piawaian alam sekitar dan operasi yang ketat.
Dalam pada itu, Foong Hin berkata, larangan menyeluruh terhadap aktiviti penternakan babi di Selangor dijangka tidak akan menjejaskan bekalan daging haiwan itu dalam tempoh yang terdekat berikutan kadar sara diri negara (SSL) bagi tujuan itu ialah sekitar 65 peratus.
“Bagaimanapun, dalam jangka panjang, kita perlu memastikan komuniti bukan Islam di Malaysia terus dapat menikmati hak mengamalkan budaya mereka termasuk mendapatkan sumber protein utama,” ujar beliau.
Sementara itu pula, Kon Yeow menganggap Projek Kemudahan Biogas Berpusat Kampung Valdor itu sebagai model penyelesaian mampan bagi menangani pencemaran alam sekitar yang berlaku di Pulau Pinang.
“Saya juga melihat projek ini sebagai lambang pelaksanaan penyelesaian secara berstruktur dan jangka panjang oleh kerajaan negeri Pulau Pinang bagi menangani cabaran alam sekitar yang telah lama wujud,” katanya.-UTUSAN










