Pulau Pinang: Bersatu Bahagian Kepala Batas, Tanjong dibubar

Pulau Pinang: Bersatu Bahagian Kepala Batas, Tanjong dibubar

KHALIQ Mehtab Mohd. Ishaq (tengah) bersama sebahagian daripada ahli serta jawatankuasa Bersatu Bahagian Kepala Batas dan Tanjong semasa mengumumkan pembubaran kedua-dua jawatankuasa berkenaan di Kepala Batas, Pulau Pinang malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Seluruh jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kepala Batas dan Tanjong telah dibubarkan secara rasmi malam tadi.

Ketua Bersatu Bahagian Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq berkata, keputusan untuk membubarkan jawatankuasa di kedua-dua bahagian itu dibuat secara kolektif dan bukan atas dorongan emosi.

Menurut Khaliq, pembubaran itu merupakan manifestasi daripada kegagalan kepimpinan pusat Bersatu dalam mengurus parti secara strategik, inklusif dan berkesan, sekali gus mencetuskan krisis keyakinan yang serius di peringkat akar umbi.

Lebih membimbangkan, katanya, krisis keyakinan terhadap Presiden Bersatu iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin kini berada pada tahap yang amat serius dan keputusan mereka untuk meletakkan jawatan serta keluar parti secara beramai-ramai disifatkan sebagai tepat.

“Realitinya ketika ini, lebih dua pertiga ketua bahagian dan kira-kira tiga perempat ahli Parlimen Bersatu (di seluruh negara) dilihat bersama dan menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Ini merupakan satu petunjuk jelas bahawa, masalah yang dihadapi (Bersatu) ketika ini bukan bersifat terpencil, tetapi, melibatkan hilangnya kepercayaan secara meluas terhadap kepimpinan tertinggi parti,” katanya dalam sidang akhbar di sini.

Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Ketua Bersatu Bahagian Tanjong iaitu Hafizah Md. Taib serta hampir 50 ahli Bersatu termasuk jawatankuasa yang terdiri daripada sayap Armada Bersatu serta Serikandi di kedua-dua bahagian yang terlibat.

Difahamkan, jumlah ahli Bersatu yang berdaftar di kedua-dua bahagian ketika ini dianggarkan melebihi 2,500 orang.

Kelmarin, sebahagian daripada jawatankuasa Bersatu Bahagian Balik Pulau dikatakan turut membuat sidang akhbar bagi mengumumkan bahawa mereka kini tidak bersama parti walaupun perkara tersebut dinafikan oleh Ketua Bersatu Balik Pulau merangkap Ketua Penerangan Armada Bersatu, Harris Idaham Abdul Rashid.

Sementara itu, Khaliq Mehtab yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam berkata, beliau percaya ada beberapa bahagian Bersatu lain di Pulau Pinang kini sedang berkira-kira untuk membubarkan jawatankuasa mereka dalam masa yang terdekat.

“Cuma kami tak boleh ‘announce’ (umum) bagi pihak merekalah. Saya rasa lebih daripada 50 peratus jawatankuasa yang akan bubar dan letak jawatan. Cuma mereka mungkin sedang menunggu masa yang sesuai,” ujar beliau.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, dua bahagian Bersatu iaitu Larut dan Lembah Pantai dikatakan telah membubarkan jawatankuasa masing-masing kerana mereka hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN