PUTRAJAYA: Produktiviti buruh per jam bekerja di Malaysia mencatatkan pertumbuhan meyakinkan sebanyak 4.9 peratus kepada RM46.3 setiap jam pada suku tahun keempat 2025.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi itu sejajar dengan ekonomi Malaysia yang berkembang 6.3 peratus pada tempoh berkenaan, berbanding 5.4 peratus pada suku sebelumnya.
Menurut beliau, dalam tempoh yang sama, jumlah jam bekerja meningkat sebanyak 1.4 peratus kepada 9.9 bilion jam.
Dari sudut tenaga buruh pula, katanya, jumlah pekerja di negara ini meningkat kepada 17.1 juta orang pada suku dikaji, sekali gus mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 1.8 peratus.
“Sementara itu, produktiviti buruh per pekerja meningkat 4.4 peratus untuk merekodkan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM26,765 seorang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Uzir menjelaskan, prestasi sektoral bagi produktiviti buruh yang diukur sebagai nilai ditambah per jam bekerja didorong oleh lonjakan positif dalam semua sektor ekonomi.
Ia diterajui oleh sektor Pembinaan sebanyak 10.3 peratus, diikuti Pembuatan (6.4 peratus), Pertanian (5.5 peratus), Perlombongan dan pengkuarian (5.1 peratus) serta Perkhidmatan (4.0 peratus).
Mengulas prestasi keseluruhan sepanjang tahun 2025, beliau berkata, produktiviti buruh per jam bekerja mempamerkan momentum positif pada 3.7 peratus dengan merekodkan nilai ditambah sebanyak RM44.5 setiap jam.
“Begitu juga, produktiviti buruh per pekerja bagi tahun 2025 meningkat 3.4 peratus dengan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM102,672 seorang.
Secara keseluruhannya, semua sektor mencatatkan momentum positif yang stabil sepanjang tahun,” jelas beliau.
Melangkah ke hadapan, Mohd Uzir optimis bahawa produktiviti buruh negara berada pada kedudukan yang baik ke arah prospek positif pada 2026, disokong oleh pasaran buruh yang stabil dan prestasi ekonomi yang mampan.
“Pengukuhan produktiviti adalah penting bagi meningkatkan daya saing, menyokong pertumbuhan gaji yang mampan dan memastikan daya tahan ekonomi jangka panjang,” tambahnya.
Dalam perkembangan berasingan, Mohd Uzir memberitahu, Jabatan Perangkaan (DOSM) sedang melaksanakan Banci Ekonomi 2026 (BE2026) bermula 5 Januari hingga 31 Oktober ini bagi mengumpul data komprehensif pertubuhan perniagaan berdaftar dan tidak berdaftar di seluruh negara. – UTUSAN








