PPDSA, MyGDX pacu transformasi digital sektor awam

PPDSA, MyGDX pacu transformasi digital sektor awam

GOBIND ketika berucap pada Majlis Peluncuran Polisi Pendigitalan Data Sektor Awam dan Perluasan Platform Perkongsian Data Sektor Awam (MyGDX) di Hotel Seri Pacific.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Digital menyeru semua agensi dan jabatan kerajaan supaya memperkukuh sinergi dalam memacu transformasi digital sektor awam menerusi pelaksanaan Polisi Pendigitalan Data Sektor Awam (PPDSA) serta peluasan platform Malaysian Government Central Data Exchange (MyGDX).

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pelaksanaan kedua-dua inisiatif itu penting bagi memastikan tadbir urus data sektor awam dilaksanakan secara lebih tersusun, bersepadu dan selamat, sekali gus meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

“PPDSA dibangunkan khusus untuk menangani risiko ketidakseragaman tadbir urus data dan ketidakselarasan maklumat merentas agensi kerajaan yang boleh menjejaskan integriti data serta kualiti pembuatan keputusan kritikal di peringkat tertinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Polisi Pendigitalan Data Sektor Awam dan Perluasan Platform Perkongsian Data Sektor Awam (MyGDX) di Hotel Seri Pacific, di sini.

Menurut Gobind, PPDSA turut memperkenalkan standard baharu yang memberi tumpuan kepada aspek infrastruktur, kesahihan dan kebolehpercayaan data yang dikongsi serta kemampanan sistem bagi jangka panjang.

Katanya, keberhasilan pelaksanaan polisi itu akan membuka ruang kepada pemanfaatan teknologi Agentic AI, yang akan disokong oleh barisan penjawat awam yang kompeten dan mahir digital.

Dalam pada itu, Gobind berkata, peluasan MyGDX akan menambah baik sistem sedia ada di setiap agensi kerajaan, khususnya melibatkan proses pengumpulan, pemadanan dan pengesahan data melalui sistem digital bersepadu.

“Melalui MyGDX, proses kerja manual, rujukan dokumen fizikal serta amalan data berasingan dapat dialihkan kepada akses data secara masa nyata dengan jaminan keselamatan terhadap data peribadi,” katanya.

Beliau memaklumkan, sejak dilancarkan pada Disember 2023, MyGDX telah dimanfaatkan oleh 81 agensi kerajaan, merangkumi 51 agensi pembekal data dan 23 agensi pengguna data melalui 49 sistem yang disepadukan.

Tambahnya, platform itu merekodkan lebih 65 juta transaksi Application Programming Interface (API) melibatkan perkongsian data kritikal seperti profil penjawat awam, maklumat pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), semakan pasport, status pengesahan orang kurang upaya (OKU) serta maklumat lesen dan pendaftaran kenderaan.

Gobind menegaskan, Kementerian Digital kekal komited merealisasikan visi pendigitalan negara dengan sokongan padu seluruh sektor awam ke arah pembinaan kerajaan digital yang diyakini rakyat serta menyokong aspirasi Ke Arah Negara AI 2030. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN