Polis rampas perahu Thailand ‘ceroboh’ perairan Kelantan di Sungai Golok

Polis rampas perahu Thailand ‘ceroboh’ perairan Kelantan di Sungai Golok

MOHD. Yusoff Mamat semasa sidang media selepas turun padang meninjau tindakan penguatkuasaan terhadap struktur haram di atas tanah kerajaan di kawasan pangkalan haram parkir, Rantau panjang, Kelantan hari ini.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG Polis Kelantan merampas sebuah perahu dari Thailand yang menceroboh masuk ke perairan negeri ini di Sungai Golok dalam usaha membendung jenayah rentas sempadan Malaysia-Thailand.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, rampasan yang dibuat minggu lalu di Tumpat itu melibatkan sebuah perahu yang membawa individu masuk ke negara ini melalui laluan tidak sah.

Katanya, tindakan tersebut selari dengan keputusan menutup pangkalan haram yang dikuatkuasakan sejak 1 Disember 2024.

“Amaran sudah setahun kita beri. Sekarang kita terus rampas, termasuk perahu sekali.

“Kalau tangkap orang atau barang sahaja, tetapi perahu masih beroperasi, kegiatan ini tidak akan selesai,” katanya kepada pemberita selepas turun padang meninjau tindakan penguatkuasaan terhadap struktur haram di atas tanah kerajaan di kawasan pangkalan haram parkir di sini hari ini.

Mohd. Yusoff berkata, polis turut menggunakan dron serta bantuan Unit Udara bagi memantau pergerakan perahu dari Thailand yang menceroboh masuk ke perairan negara.

“Kita ada bukti video dan pemantauan dron. Mana-mana bot yang masuk dan melakukan kesalahan, kita akan tangkap serta rampas.

“Tindakan tegas itu hasil kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) dan ketua-ketua polis daerah selepas kita mendapati kegiatan tersebut masih berlaku meskipun pengkalan haram telah dirobohkan,” ujarnya.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan laluan laut dan Sungai Kelantan menjadi lokasi terbaharu sindiket penyeludupan selepas polis bertindak tegas merobohkan pangkalan haram serta mengetatkan kawalan di Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand.

Mohd. Yusoff berkata, sejak itu sindiket dikesan mengeksploitasi ruang laut yang luas dan terbuka sebagai pintu masuk utama ke negeri ini.

Katanya, perubahan modus operandi itu menunjukkan sindiket semakin tersusun, terancang dan berani, dengan kemasukan harian dikesan melalui laut sebelum disalurkan ke Sungai Kelantan dan seterusnya ke darat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN