Dasar bersama Persekutuan, negeri kaedah terbaik urus hasil mineral kritikal

Dasar bersama Persekutuan, negeri kaedah terbaik urus hasil mineral kritikal

MOHAMAD Hasan (kiri) menyampaikan sumbangan kepada warga emas pada Majlis Penyampaian Sumbangan kepada rumah berhala, NGO dan warga emas bagi DUN Rantau di Seremban hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Dasar secara bersama di antara kerajaan Persekutuan dan negeri berkaitan hasil mineral kritikal di negara ini merupakan kaedah terbaik untuk menguruskan sumber galian itu di peringkat antarabangsa.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kaedah itu berbangkit susulan cadangan Amerika Syarikat (AS) mewujudkan mewujudkan blok kawalan mineral kritikal.

Katanya, ketika ini sumber mineral yang dilombong adalah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri namun hasil tersebut tidak boleh dieksport ke luar negara tanpa kebenaran kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, kaitan tersebut memerlukan kedua-dua pihak iaitu Persekutuan dan negeri duduk bersama merangka pelan tindakan yang lebih menyeluruh terutamanya ketika ini Malaysia belum ada dasar mineral yang dikategorikan sebagai kritikal.

“Boleh jadi kita buat suatu dasar dan satu undang-undang yang mana kerajaan negeri dan juga kerajaan Persekutuan menguruskan hasil galian secara bersama.

“Tetapi kita jangan lagi buat seperti Akta Pembangunan Petroleum yang mana hasilnya dikutip kerajaan Persekutuan dan negeri hanya dapat wang ihsan. Kita mahu situasi menang-menang. Ini pandangan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian elepas menyampaikan sumbangan kepada rumah berhala, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan warga emas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di sini hari ini.

Mohamad mengulas kenyataan beliau di Parlimen mengenai mesyuarat berkaitan mineral kritikal di AS yang dihadiri beliau minggu lalu.

Ahli Parlimen Rembau itu menambah, cadangan AS itu agak baik kerana ia bertujuan mengawal harga lantai hasil mineral antara negara pengeluar dan pembeli.

Jelasnya, langkah kawalan ini dapat menghalang negara yang ingin menguasai mineral bertindak menjatuhkan harga sewenang-wenangnya.

“Kita pernah mengalami masalah yang sama dahulu apabila harga bijih timah jatuh merudum yang menyebabkan lombong bijih timah di negara ini terpaksa ditutup.

“Ketika itu kita merupakan negara pengeluar utama bijih timah di dunia dan status itu tidak kekal apabila semua lombong ditutup,” ujarnya.

Beliau berkata, Malaysia tidak akan tergesa-gesa menerima cadangan terbaharu AS itu sebaliknya satu kajian teliti mengenainya akan dijalankan terlebih dulu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN