NIBONG TEBAL : Situasi penularan penyakit tuberkulosis (tibi) atau batuk kering khususnya di sekolah-sekolah yang mempunyai asrama ketika ini dilaporkan masih terkawal.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, dalam hal ini, Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa bertindak berdasarkan saranan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“Kita (KPM) ikut garis panduan yang disediakan oleh KKM dan jika ada kes-kes itu berlaku di asrama (sekolah) dan sebagainya maka tindakan pantas akan diambil.
“Bukan sahaja di peringkat KKM tetapi juga dengan pedoman daripada KKM. Jadi, semua garis panduan itu sudah ada. Maknanya, kita bincang dan ambil tindakan secara bersama,” katanya.
Fadhlina ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan ‘Smartboard’ Prasekolah serta pelepasan satu kontena susu UHT 125ml percuma untuk murid prasekolah di seluruh Pulau Pinang oleh Farm Fresh Berhad di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tasek Mutiara di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal menafikan bahawa pihaknya ada menerima aduan berhubung sekolah-sekolah yang gagal melaporkan kes-kes penularan penyakit tibi itu kepada Pejabat Kesihatan Daerah.
“Setakat ini tidak ada (aduan) kerana kawalan penyakit tibi ini kita lakukan sepenuhnya dengan pemantauan ketat daripada KKM,” ujar beliau.
Kelmarin, sebanyak 10 kluster tibi direkodkan di beberapa negeri antara tempoh dari Januari hingga 7 Februari lalu dan kesemua kluster itu juga dilaporkan masih aktif ketika ini.-UTUSAN










