KOTA KINABALU: Pihak polis dibantu pekerja pembersihan sampah kini giat melakukan pencarian anggota badan lain susulan penemuan kaki dan tangan manusia di sebuah tempat pembuangan sampah di Taman Indah Permai, di sini, pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman, berkata, pencarian itu dilakukan di satu lagi tempat pembuangan sampah berhampiran, selain menyelongkar semula sampah yang sudah dimasukkan dalam lori sampah.
“Tindakan itu bagi mencari kemungkinan anggota badan lain iaitu sebelah tangan, kaki, badan serta kepala dibuang di tempat pembuangan sampah lain atau sudah dimasukkan ke dalam lori.
“Setakat ini, siasatan serta pencarian dijalankan polis dengan bantuan pekerja lori sampah tidak menemukan anggota badan lain,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Syed Lot berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 pagi tadi, ketika seorang pekerja pembersihan sampah sedang menjalankan kerja rutin memasukkan sampah ke dalam lori dari pusat pembuangan sampah.
Ekoran penemuan itu, pekerja itu bersama rakannya menghentikan kerja memasukkan sampah ke dalam lori sebelum menemukan pula kaki manusia.
Katanya, anggota badan manusia itu dipercayai dipotong sebelum dibalut atau dimasukkan ke dalam plastik sampah hitam sebelum dibuang ke tong sampah.
Beliau berkata, setakat ini, polis belum mendapat petunjuk mengenai penemuan itu dan siasatan masih dijalankan bagi mencari kemungkinan anggota badan lain dibuang di lokasi berasingan.-UTUSAN










