PARLIMEN: 3.96 juta belia sertai program Rakan Muda tahun lalu

PARLIMEN: 3.96 juta belia sertai program Rakan Muda tahun lalu

MOHAMMED TAUFIQ JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 3.96 juta daripada 9.66 juta belia di negara ini menyertai program Rakan Muda pada tahun lalu, melepasi sasaran sebanyak 2.42 juta orang.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, kejayaan itu menunjukkan program yang diperkenalkan semula pada 2023, mencapai tahap capaian yang meluas.

Beliau berkata, pada tahun ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi penekanan lebih jelas kepada aspek kualiti berbanding kuantiti melalui pengisian program lebih berstruktur, berteraskan pembangunan karakter, pemerkasaan kemahiran serta pembinaan tanggungjawab sosial dalam kalangan belia.

“Keberkesanan pelaksanaan program Rakan Muda dinilai secara lebih menyeluruh melalui gabungan indikator output dan outcome termasuk tahap penglibatan aktif belia, pembangunan kemahiran, pengukuhan nilai sahsiah serta keberhasilan jaringan komuniti,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) mengenai pencapaian terkini Rakan Muda 2025 termasuk output dan impak kepada belia hasil daripada peruntukan RM20 juta.

Rushdan juga bertanyakan sama ada pendekatan penganjuran akan ditambah baik agar berteraskan pembinaan sahsiah dan kemahiran, bukan hedonisme.

Mohammed Taufiq berkata, pengumuman peruntukan sebanyak RM40 juta bagi Rakan Muda dalam Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap keberkesanan pelaksanaan program itu. Ia termasuk pengurusan peruntukan RM20 juta yang dilaksanakan secara berhemah dan berfokus kepada impak pembangunan belia.

Katanya, julat umur penyertaan Rakan Muda turut diperluas mulai 2026 kepada 15 hingga 30 tahun berbanding 15 hingga 25 tahun sebelum ini.

“Ia bagi memastikan lebih ramai belia mendapat akses kepada program pembangunan sahsiah, kemahiran dan kepimpinan secara inklusif.

“Pelaksanaan program Rakan Muda turut diperkukuh melalui jaringan strategik melibatkan 7,594 rakan pelaksana termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan sektor swasta,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan Rakan Muda akan terus ditambah baik agar lebih berfokus kepada pembinaan sahsiah, pemerkasaan kemahiran dan kepimpinan belia selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

“KBS komited memastikan setiap program dilaksanakan secara berstruktur, berimpak dan memberi manfaat nyata kepada masa depan generasi muda negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN