Polis ke pejabat media antarabangsa berkait laporan fitnah Azam Baki

Polis ke pejabat media antarabangsa berkait laporan fitnah Azam Baki

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipercayai hadir ke pejabat Bloomberg yang berpangkalan di Kuala Lumpur semalam berhubung laporan fitnah berkaitan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun, Utusan Malaysia difahamkan individu yang dikaitkan dengan laporan berita berkenaan tidak berada di lokasi ketika kehadiran pihak polis.

Tindakan yang dilakukan polis itu dipercayai sebahagian daripada proses siasatan selepas satu kertas siasatan dibuka berhubung perkara berkenaan.

Sementara itu, Utusan Malaysia cuba mendapatkan pengesahan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, namun belum berjaya setakat ini.

Pada 14 Februari lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung penyiaran artikel diterbitkan Bloomberg yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah terhadap Tan Sri Azam Baki.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar mengesahkan menerima laporan polis dan sedang menjalankan siasatan berhubung penyiaran artikel yang diterbitkan syarikat media antarabangsa itu.

Artikel bertajuk ‘Malaysian Anti-Graft Chief Returns to Stocks After Outcry’ yang diterbitkan pada Selasa lalu itu mendakwa Tan Sri Azam Baki memiliki sebanyak 17.7 juta saham dalam syarikat Velocity Capital Partner Bhd.

Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman.

Kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Selain, Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu memfitnah yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Bagi Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Sebelum itu, media melaporkan, Azam memulakan tindakan undang-undang terhadap laporan Bloomberg yang disifatkannya sebagai mengelirukan, berunsur fitnah dan menjejaskan reputasi beliau serta integriti suruhanjaya berkenaan.

Dalam kenyataan menerusi peguamnya, Tetuan Zain Megat & Murad, firma itu memaklumkan pihaknya diarahkan untuk memulakan tindakan berkenaan dan mendapatkan segala tindakan yang berkaitan dengan penerbitan itu termasuk tuntutan ganti rugi dan relief lain yang bersesuaian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN