PUTRAJAYA: Sebanyak 34 organisasi media yang berdaftar dengan Jabatan Penerangan (JAPEN) telah menerima pembiayaan berjumlah RM10.3 juta menerusi agihan fasa satu Dana Inovasi Media.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, dana berjumlah RM30 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 menerima sambutan menggalakkan daripada organisasi media.
Beliau berkata, sebanyak 50 permohonan telah diterima (menerusi Dana Inovasi Media Fasa 1) dan ia menunjukkan tahap keyakinan dan kesediaan pemain industri untuk bergerak ke arah transformasi yang lebih progresif.
“Dari jumlah tersebut, sebanyak 34 organisasi media telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM10.3 juta,” katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Katanya, permohonan bagi Dana Inovasi Media bagi Fasa 2 yang dibuka bermula 9 hingga 22 Feb lepas turut menunjukkan momentum positif dengan penyertaan 19 organisasi media, manakala Dana Inovasi Media bagi Fasa 3 akan dibuka untuk permohonan bermula 1 Mac sehingga 14 Mac ini.
“Perkembangan ini memperlihat kesungguhan pemain industri untuk terus berinovasi serta menyesuaikan model perniagaan mereka dengan keperluan dan realiti perniagaan semasa,” katanya.
Jelasnya lagi, dana ini bukan hanya bertujuan memperkukuh keupayaan organisasi media melalui penerapan teknologi baharu, pembangunan kandungan berkualiti serta peningkatan kemahiran tenaga kerja.
“Kerajaan yakin inisiatif ini akan membuka lebih banyak peluang kepada organisasi media terutama organisasi media tempatan untuk berkembang dan menyumbang kepada penyampaian maklumat yang tepat berintegriti, beretika dan berkualiti kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN










