PETALING JAYA: Polis sedang mengesan pemandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipercayai menggunakan siren dan lampu pandu arah secara tidak sah di sebuah lebuh raya, selepas rakaman perbuatannya tular di media sosial.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, siasatan awal mendapati nombor pendaftaran kenderaan terbabit tidak dapat dikenal pasti daripada video yang tersebar.
Katanya, setakat ini polis juga belum menerima sebarang laporan rasmi berkaitan kejadian tersebut, manakala penelitian di ruangan komen media sosial tidak menemukan maklumat tambahan yang boleh membantu siasatan.
“Perbuatan dipaparkan dalam video itu dipercayai melibatkan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada dan tindakan boleh diambil mengikut Kaedah 138(1), Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959, iaitu larangan memasang lampu amaran berkelip pada kenderaan selain kenderaan kecemasan yang dibenarkan.
“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh didakwa mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda sehingga RM2,090 atau penjara maksimum enam bulan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kes turut boleh disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan sekiranya wujud unsur penyamaran sebagai penjawat awam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan polis. – UTUSAN










