Setiausaha Akhbar Sanusi mohon maaf kepada pemilik KDA

Setiausaha Akhbar Sanusi mohon maaf kepada pemilik KDA

MOHD. Daud Bakar (dua kiri) bersama Muhamad Mat Yakim (dua kanan) selepas kes saman fitnah yang berjaya diselesaikan secara baik di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD AIMY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kes saman fitnah pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar terhadap Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah, Muhamad Mat Yakim diselesaikan secara baik di Mahkamah Sesyen, hari ini.

Penyelesaian kes antara Mohd. Daud selaku plaintif dan Muhamad selaku defendan itu berjaya dicapai hasil persetujuan kedua-dua pihak.

Muhamad membacakan permohonan maaf terhadap Mohd. Daud dalam prosiding di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Dalam pernyataan maaf itu, Muhamad menarik balik dan membatalkan sepenuhnya semua kenyataan diterbitkannya dalam akaun media sosial pada 29 Jun tahun lalu berkaitan Mohd. Daud dan perkara-perkara berkaitan dengannya.

Muhamad memohon maaf atas segala kesan ketidakselesaan dan kerosakan terhadap nama baik dan reputasi Mohd. Daud disebabkan penerbitan kenyataan-kenyataan tersebut.

Dia seterusnya memberi jaminan serta aku janji untuk tidak mengulangi perbuatan itu atau menyebabkan penerbitan sebarang kenyataan yang bersifat sama atau seakan-akan dengannya terhadap plaintif.

Mohd. Daud kemudian menerima permohonan maaf tersebut sebelum kedua-duanya bersalaman.

Pada prosiding itu, Mohd. Daud diwakili peguam, Ashraf Sohaimi, manakala Muhamad diwakili peguam, Abdul Hadi Ahmad.

Utusan Malaysia pada 20 Januari lalu melaporkan kes saman fitnah Mohd. Daud terhadap Muhamad diteruskan selepas kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan dalam proses mediasi yang berlangsung di Mahkamah Alor Setar.

Mohd. Daud memfailkan saman pada Oktober tahun lalu terhadap Muhamad susulan satu hantaran di media sosial yang didakwa mengandungi fakta tidak tepat. Beliau menamakan Muhamad sebagai defendan tunggal serta menuntut pampasan, ganti rugi am, teruk dan teladan terhadapnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN