HULU LANGAT: Seorang duda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kajang di sini hari ini atas dua pertuduhan cubaan membunuh bekas teman wanitanya dan membakar kereta mangsa di sebuah rumah di Bandar Teknologi Kajang.
Tertuduh, S. Parthiban, 43, membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Khainur Aleeza Ismail.
Mengikut pertuduhan, pegawai makmal perubatan itu didakwa telah mencurahkan petrol ke badan mangsa yang berusia 43 tahun dengan mengetahui perbuatan tersebut boleh menyebabkan kematian terhadap wanita itu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu turut didakwa dengan satu lagi pertuduhan iaitu melakukan khianat dengan bahan api iaitu minyak petrol dengan membakar kenderaan milik wanita itu mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di kediaman itu, di sini, pada pukul 3.20 petang, 30 Januari lalu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzah Shaharuddin tidak menawarkan sebarang jaminan kerana cubaan membunuh merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.
“Sekiranya mahkamah berhasrat untuk memberikan jaminan, mohon jumlah jaminan yang tinggi kira-kira RM10,000 untuk setiap pertuduhan serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain melaporkan diri sebulan sekali sehingga kes selesai,” katanya.
Parthiban yang tidak diwakili peguam merayu agar diberikan jaminan yang rendah dengan alasan menanggung seorang anak berusia sembilan tahun hasil perkahwinan terdahulu.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Khainur Aleeza membenarkan tertuduh diikat jamin RM16,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut membenarkan syarat tambahan yang dimohon pendakwaan dan menetapkan 10 April ini bagi sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki bertindak ganas di kediaman membabitkan bekas teman wanitanya berusia 40-an serta ibu mangsa yang berusia 80 tahun.
Dalam kejadian itu, sebuah kenderaan milik mangsa dibakar oleh suspek selain mangsa mengalami kecederaan melecur di beberapa bahagian badan.
Suspek diberkas pada hari sama ketika bersembunyi di sebuah unit pangsapuri di Bandar Saujana Putra dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan. – UTUSAN










