Kim Choo tukar alamat teruja acara kerja ADUN Duyong

Kim Choo tukar alamat teruja cara kerja ADUN Duyong

MOHD. Noor Helmy Abdul Halem bersama Lee Kim Choo menunjukkan permohonan pertukaran alamatnya Program Hari Ahli Majlis MMKN bersama Rakyat (HEBAT) Siri 1 Tahun 2026 di Seri Negeri, Melaka, semalam. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Teruja dengan sikap prihatin Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem terhadap masyarakat berbilang kaum menyebabkan seorang wanita sanggup menukar alamat pada kad pengenalannya.

Bagi Lee Kim Choo, 55, dari Taman Ayer Keroh Permai berkata, dia sudah lama mengikuti cara kerja ADUN Duyong itu melalui Facebook dan TikTok sejak setahun lalu.

Katanya, dia datang ke Program Hari Ahli Majlis MMKN bersama Rakyat (HEBAT) Siri 1 Tahun 2026 di Seri Negeri seawal pukul 8.30 pagi ini untuk bertemu Mohd. Noor Helmy dan menyatakan hasratnya menukar alamat di Duyong semata-mata ingin mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.

“Saya suka tengok cara dia tolong semua rakyat tanpa mengira bangsa melalui Facebook dan TikTok sejak setahun lalu.

“Saya ambil keputusan untuk tukar alamat dari Taman Ayer Keroh Permai ke alamat di Duyong. Ini kali pertama saya dapat berjumpa Mohd. Noor Helmy dan saya benar-benar teruja,” ujarnya kepada pemberita di sini semalam.

Kim Choo berkata, sejurus berjumpa ADUN Duyong itu dia terus ke kaunter van Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dihadapan Seri Negeri untuk menukar alamat barunya di Jalan Bukit Baru, Duyong.

Katanya, dia mengambil masa hampir satu jam sebelum permohonannya untuk menukar alamat diluluskan oleh JPN.

Sementara itu Mohd. Noor Helmy ketika ditemui berkata, beliau melahirkan rasa terkejut apabila berjumpa Kim Choo yang menyatakan hasrat untuk berpindah ke Duyong serta menukar kad pengenalan kerana tertarik dengan cara kerjanya sebagai ADUN Duyong.

“Saya sendiri tak tahu nak cakap apa. Saya ucap terima kasih kepada Kim Choo kerana menghargai cara kerja saya sejak menjadi ADUN Duyong,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN