Pindah rumah ibadat perlu berhemah, bukan terus guna penguat kuasa - Utusan Malaysia

Pindah rumah ibadat perlu berhemah, bukan terus guna penguat kuasa

M. SARAVANAN menyampaikan sumbangan kepada pelajar pada Majlis Sumbangan Kecemerlangan SPM dan Dermasiswa IPTA/IPTS Parlimen Tapah. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Tindakan memindahkan rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran perlu dilaksanakan secara berhemah dengan memberi ruang dan masa kepada pemilik untuk mencari tapak baharu, berbanding mengambil tindakan penguatkuasaan serta-merta.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pendekatan itu bagaimanapun hanya wajar dipertimbangkan bagi rumah ibadat yang telah lama dibina, dan bukan melibatkan struktur baharu atau yang masih dalam pembinaan.

Menurut beliau, rumah ibadat yang telah lama wujud, walaupun dibina tanpa kelulusan, sewajarnya diberi peluang untuk dipindahkan secara sukarela.

“Mereka sudah lama berada di situ. Apa salahnya kita beri ruang supaya mereka sendiri memindahkan rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran itu, daripada kita menggunakan penguat kuasa.

“Jika rumah ibadat itu baharu dibina atau masih dalam pembinaan, dan mahu dirobohkan, saya setuju. Tetapi bagi yang sudah lama, walaupun tanpa kelulusan, berilah ruang dan peluang kepada pemilik untuk memindahkannya sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sumbangan Kecemerlangan SPM dan Dermasiswa IPTA/IPTS Parlimen Tapah di Dewan Merdeka, di sini, hari ini.

Saravanan menegaskan beliau tidak menyokong pembinaan rumah ibadat tanpa izin. Malah, ketika menjawat jawatan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, beliau tidak membenarkan sebarang pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan.

“Saya terus hantar penguat kuasa kerana rumah ibadat itu baharu dibina. Tetapi jika ia sudah lama wujud, janganlah selepas 25 tahun baru hendak muncul dan mendakwa tanah itu milik mereka.

“Kalau bukan tanah kita dan ada pihak menuntut, maka kita perlu serahkan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata MIC bersama Hindu Sangam Malaysia akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau dan membantu menangani isu berkaitan kuil yang dibina tanpa izin.

“Kita boleh bertindak sebagai mediator untuk mencari penyelesaian. Jika perlu dipindahkan, proses itu harus dilakukan secara berhemah dengan memberi masa untuk mereka mencari tanah dan sebagainya,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) diberi kuasa untuk mengambil tindakan terhadap rumah ibadat, termasuk kuil, yang dibina tanpa mengikut peraturan dan undang-undang yang sah.

Menurut beliau, kerajaan tidak mengizinkan pembinaan mana-mana rumah ibadat yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN