Sektor pembinaan berkembang 12.5%, nilai kerja cecah RM178.6 bilion

Sektor pembinaan berkembang 12.5%, nilai kerja cecah RM178.6 bilion

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor pembinaan Malaysia berkembang 12.5 peratus pada 2025 dengan nilai kerja pembinaan mencecah RM178.6 bilion, sekali gus mengekalkan momentum positif pada suku keempat tahun lalu.

Prestasi itu disokong pertumbuhan dua digit 10.3 peratus pada suku keempat.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan tahunan sektor tersebut didorong terutamanya oleh prestasi kukuh subsektor aktiviti pertukangan khas dan bangunan bukan kediaman yang masing masing meningkat 21.1 peratus dan 18.6 peratus.

Menurut beliau, subsektor bangunan kediaman mencatatkan pertumbuhan lebih sederhana sebanyak 5.9 peratus berbanding 11.6 peratus pada suku ketiga 2025, manakala subsektor kejuruteraan awam berkembang lebih perlahan pada kadar 3.6 peratus berbanding 8.9 peratus sebelum ini.

“Daripada jumlah nilai kerja pembinaan sebanyak RM46.4 bilion pada suku keempat 2025, subsektor kejuruteraan awam menyumbang RM16.2 bilion atau 34.9 peratus, didorong aktiviti pembinaan projek utiliti bernilai RM8.8 bilion serta jalan raya dan landasan kereta api sebanyak RM5.8 bilion,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, subsektor bangunan bukan kediaman pula merekodkan nilai kerja RM14.0 bilion atau 30.1 peratus, diikuti bangunan kediaman RM10.5 bilion atau 22.6 peratus.

“Subsektor aktiviti pertukangan khas menyumbang RM5.7 bilion atau 12.4 peratus, terutamanya melalui aktiviti penyediaan tapak berjumlah RM1.5 bilion, pemasangan paip, pemanasan dan penghawa dingin RM1.2 bilion serta pemasangan elektrik RM1.1 bilion,” katanya.

Tambahnya, Mohd Uzir berkata, sektor swasta kekal sebagai pemacu utama dengan sumbangan RM29.3 bilion atau 63.2 peratus daripada jumlah nilai kerja pembinaan pada suku berkenaan, dengan pertumbuhan 8.6 peratus.

Katanya, pertumbuhan sektor swasta disokong subsektor aktiviti pertukangan khas yang meningkat 23.8 peratus serta bangunan bukan kediaman sebanyak 10.5 peratus.

“Sektor awam pula menyumbang RM17.1 bilion atau 36.8 peratus dan mencatatkan pertumbuhan dua digit 13.4 peratus, didorong terutamanya oleh bangunan bukan kediaman yang melonjak 56.7 peratus selepas menguncup pada suku sebelumnya,” ujarnya.

Dari segi agihan negeri, hampir 62.9 peratus nilai kerja pembinaan tertumpu di Selangor, Johor, Sarawak dan Wilayah Persekutuan merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Selangor muncul penyumbang terbesar dengan nilai RM11.0 bilion atau 23.8 peratus, diikuti Johor RM8.3 bilion atau 17.9 peratus, Sarawak RM5.0 bilion atau 10.8 peratus dan Wilayah Persekutuan RM4.8 bilion atau 10.4 peratus.

Sektor pembinaan merekodkan nilai kerja RM178.6 bilion sepanjang 2025 dengan pertumbuhan 12.5 peratus berbanding 20.2 peratus pada 2024, dipacu peningkatan dalam subsektor aktiviti pertukangan khas, bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman, manakala kejuruteraan awam berkembang pada kadar lebih sederhana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN