Buang puntung rokok, buruh didenda RM1,500 dan 4 jam khidmat masyarakat

Buang puntung rokok, buruh didenda RM1,500 dan 4 jam khidmat masyarakat

KOMPLEKS MAHKAMAH KUALA LUMPUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gara-gara membuang puntung rokok di tempat awam, seorang lelaki didenda RM1,500 dan menjalani khidmat masyarakat selama empat jam dalam tempoh sebulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Ajmal Haziq Zulkarnain, 30, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di depan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin. OKS boleh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, lelaki yang bekerja sebagai buruh itu didakwa membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok di tempat awam atau jalan awam dan bukan dalam bekas yang diperuntukkan bagi membuang sisa pepejal tersebut.

Kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah restoran di Bukit Bintang di sini, pada pukul 10.39 malam, 1 Januari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 dan sebagai tambahan, boleh dikenakan perintah khidmat masyarakat tidak melebihi 12 jam secara agregat dalam tempoh maksimum enam bulan dan selama bilangan jam tertentu setiap hari tidak melebihi empat jam sebagaimana dinyatakan dalam perintah itu.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), A’ala Shah Md Yusop memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS dan orang awam tentang kepentingan menjaga kebersihan di tempat awam.

Ajmal Haziq yang tidak diwakili peguam pula merayu hukuman ringan dengan alasan dia mengakui kesalahan yang dilakukannya.

Semasa persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memaklumkan semua pesalah yang disabitkan mahkamah bagi kesalahan membuang sampah akan menjalani Perintah Khidmat Masyarakat secara serentak pada 13 Februari ini.

Beliau berkata, pesalah akan menjalani hukuman dengan membersihkan longkang, menyapu jalan dan mencuci tandas awam, mengikut sabitan mahkamah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN