KUALA LUMPUR: Pemilihan Ahli Lembaga kurang profesional dikenal pasti antara punca utama kegagalan sesebuah koperasi sehingga menjejaskan prestasi kewangan dan keupayaan daya saing entiti berkenaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, faktor berkenaan menyebabkan sesetengah koperasi kekal beroperasi secara konvensional dan kurang berdaya saing.
Katanya, terdapat juga koperasi yang terlalu bergantung kepada bantuan kewangan kerajaan tanpa usaha serius untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Sehubungan itu katanya, kerajaan tidak akan mempertimbangkan pembiayaan baharu kepada koperasi yang gagal menunjukkan rekod bayaran balik pinjaman yang memuaskan.
“Langkah itu diambil bagi memastikan dana awam digunakan secara berhemah, berintegriti dan memberi manfaat yang optimum kepada anggota koperasi.
“Sebarang tunggakan pembiayaan juga akan dituntut dan diambil tindakan perundangan sewajarnya.
“Manakala koperasi yang menghadapi masalah prestasi akan dibantu melalui khidmat nasihat, tawaran penjadualan semula dan penstrukturan pembiayaan serta latihan pengurusan bagi memperkukuh keupayaan tadbir urus dan operasi koperasi tersebut,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) berhubung koperasi yang gagal menunjukkan prestasi memuaskan.-UTUSAN









