Rugi lebih RM400,000 rumah, enam kenderaan terbakar

Rugi lebih RM400,000 rumah, enam kenderaan terbakar

KEBAKARAN rumah dan enam kenderaan milik peneroka Felda Sungai Retang di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seorang peneroka Felda Sungai Retang di sini, kerugian lebih RM400,000 apabila rumah diduduki bersama ahli keluarganya hampir musnah sepenuhnya dalam kebakaran selain enam kenderaan rosak dalam kejadian tersebut, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.09 pagi itu, rumah separuh kayu dan separuh batu berkenaan terbakar hampir 100 peratus, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pemilik rumah, Mohd. Fauzi Ismail, 58, berkata, ketika kejadian dia bersama isterinya berada di Seremban, Negeri Sembilan atas urusan keluarga dan terkejut dimaklumkan tentang kejadian tersebut sebelum bergegas pulang pada malam yang sama.

Menurutnya, ketika kebakaran berlaku, tiga lelaki iaitu anak dan anak saudaranya berusia antara 17 tahun hingga 30 tahun berada di rumah berkenaan.

“Jumlah keseluruhan ahli keluarga yang tinggal di situi tujuh orang, namun hanya tiga orang berada di rumah ketika kejadian dan semua dapat menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Mohd. Fauzi berkata, kebakaran dipercayai bermula di bahagian hadapan rumah yang diperbuat daripada kayu sebelum api merebak dengan pantas ke keseluruhan struktur bangunan.

“Kami mengesyaki kebakaran berpunca daripada litar pintas, namun punca sebenar masih dalam siasatan pihak berkuasa,” katanya.

Selain rumah, enam kenderaan yang diletakkan di sekitar kawasan kediaman turut musnah akibat api yang marak dengan pantas serta keadaan panik ketika kejadian.

Kenderaan yang terbakar terdiri daripada tiga buah lori, sebuah Perodua Kancil, sebuah Perodua Aruz dan sebuah Toyota Hilux dengan tahap kemusnahan antara 40 hingga 100 peratus.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN