Pilihan raya PBT bukan perkara baharu - Kor Ming - Utusan Malaysia

Pilihan raya PBT bukan perkara baharu – Kor Ming

NGA Kor Ming (empat dari kanan) menyampaikan replika kunci kepada Chan Fook Yan (empat dari kiri) pada program Sentuhan Kejayaan Kampung Baru 2025 di Kampung Baru Simpang Jalong, Sungai Siput.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya pernah diamalkan di negara ini sebelum berlakunya Konfrontasi Indonesia-Malaysia.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming bagaimanapun berkata, sejarah pelaksanaan pilihan raya PBT itu kini dilupakan selepas ia dimansuhkan lebih 50 tahun lalu.

“Pilihan raya PBT bukanlah perkara baharu pun, perkara ini telah dilakukan sebelum Konfrontasi Malaysia-Indonesia, cuma ramai sudah lupa sejarah tanah air kita.

“Di Dewan Negara pernah ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja di mana mendiang
Senator Athi Nahappan pada waktu itu ada membuat kajian dan menyediakan laporan dengan mengesyorkan supaya pilihan raya PBT ketika itu ditangguhkan kerana konfrontasi berkenaan.

“Bagaimanapun, penangguhan sementara itu telah berlarutan sehingga 50 tahun. Sebab itu isu ini bukanlah perkara baharu,” katanya dalam sidang akhbar selepas program Sentuhan Kejayaan Kampung Baru 2025 di Kampung Baru Simpang Jalong, di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, pilihan raya datuk bandar juga telah diamalkan banyak bandar utama di seluruh dunia termasuk di negara jiran iaitu di Thailand dan Indonesia.

“Kita lihat negara jiran, di Bangkok ada pilihan raya datuk bandar, Jakarta pun rakyat yang pilih datuk bandar. Jika kita boleh pilih Perdana Menteri, mengapa kita tidak boleh pilih datuk bandar?

“Di London, ada yang mengaitkan pilihan raya di sana dipengaruhi isu agama dan kaum, namun mereka memilih Sadiq (Khan). Pemilihannya bukan kerana dia seorang Muslim, tetapi kerana dia boleh bekerja.

“Di New York, Zohran Mamdani juga muslim. Di sana sekitar 10 peratus orang Islam tetapi mereka mengundi Zohran sebagai datuk bandar kerana dia boleh bekerja,” katanya.

Tambah beliau, kajian mengenai pilihan raya jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur kini dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan sebarang keputusan akan dibuat selepas laporan kajian itu diterima.

“Berilah cendekiawan dan mereka yang cerdik pandai membuat kajian itu, lepas kajian diterima, kita akan kemukakan kepada Jemaah Menteri untuk berbincang bagi mencari jalan terbaik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN