PETALING JAYA: Polis tidak mempunyai kuasa untuk menghalang perhimpunan aman selagi ia dilaksanakan secara tertib dan tanpa senjata seperti dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki berkata, pihaknya memandang serius kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur yang memaklumkan perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram sebagai “tidak dibenarkan”.
Katanya, hak untuk berhimpun secara aman dijamin di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan sebarang sekatan hanya boleh dikenakan mengikut peruntukan undang-undang yang sah serta munasabah.
“PPMM menegaskan bahawa menurut undang-undang khususnya Perlembagaan Persekutuan, polis tidak mempunyai kuasa untuk mengharamkan atau menghalang atau tidak membenarkan perhimpunan aman, selagi perhimpunan tersebut dijalankan secara aman dan tanpa senjata.
“Hak ini adalah hak asasi yang hanya boleh dikenakan sekatan yang sah, munasabah dan selaras dengan Perlembagaan.
“PPMM menggesa pihak polis supaya mematuhi sepenuhnya kehendak Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Mahkamah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Polis tidak membenarkan penganjuran Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) yang dijadualkan akan diadakan di hadapan Kompleks Membeli Belah Sogo malam ini atas faktor keselamatan awam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, keputusan itu dibuat selepas pihak polis menjalankan risikan keselamatan serta meneliti maklum balas daripada pelbagai pihak berkaitan.
Tambahnya, keperluan notis di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 tidak boleh ditafsir sebagai kuasa untuk melarang sesuatu perhimpunan, manakala bantahan pihak tertentu termasuk peniaga setempat bukan alasan sah.
“Alasan kononnya terdapat bantahan daripada para peniaga di sekitar kawasan perhimpunan juga, bukanlah alasan yang sah untuk melarang sesuatu perhimpunan aman.
“Pendekatan yang bersifat melarang, menakut-nakutkan atau mengugut penganjur dan peserta perhimpunan aman bukan sahaja bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, malah merosakkan prinsip kedaulatan undang-undang dan demokrasi berperlembagaan.
“Hak berhimpun secara aman bukan ancaman kepada undang-undang dan ketenteraman awam, sebaliknya, hak tersebut adalah lambang kematangan demokrasi,” katanya. – UTUSAN










