PETALING JAYA: Isu penyebaran gambar memijak al-Quran serta polemik berkaitan 3R (agama, kaum dan institusi diraja) bukan sekadar persoalan undang-undang atau tatatertib institusi, sebaliknya menyentuh soal akhlak, adab dan tanggungjawab moral rakyat Malaysia.
Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Prof. Madya Datuk Dr. Luqman Abdullah berkata, kebebasan bersuara bukanlah kebebasan tanpa batas, sebaliknya perlu disertai disiplin adab dan tanggungjawab sosial khususnya dalam isu menyentuh sensitiviti agama, kaum serta institusi diraja.
“Dalam sebuah negara majmuk yang dibina atas asas Perlembagaan dan kontrak sosial, keharmonian antara agama dan kaum adalah nikmat yang wajib dipelihara.
“Dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, kebebasan bersuara tertakluk kepada sekatan demi keselamatan negara, ketenteraman awam dan moraliti. Kefahaman ini penting agar masyarakat tidak terjebak dalam retorik kebencian atau provokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian susulan penyebaran gambar memijak al-Quran yang tular dalam media sosial dan didakwa membabitkan seorang pelajar tempatan.
Sementara itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dilaporkan berkata, tangkapan telah dilakukan hari ini bagi membantu siasatan.
Tambah Luqman, institusi pendidikan merupakan medan pembinaan adab dan ilmu yang menjadi asas pembentukan masyarakat berdisiplin serta beretika.
“Oleh itu, mahasiswa dan warga akademik seharusnya menjadi contoh kepada masyarakat dalam mengamalkan wacana berfakta, berhemah dan berasaskan hujah ilmiah, bukan semata-mata emosi atau sentimen perkauman.
“Setiap individu adalah penerbit pada hari ini. Maka setiap perkongsian akan dipersoalkan bukan sahaja di sisi undang-undang, tetapi juga di sisi agama,” katanya.
Menurut beliau, Malaysia hanya akan terus aman dan dihormati apabila rakyatnya berdisiplin dalam berkata-kata, matang dalam berbeza pandangan serta teguh memelihara prinsip keadilan dan keharmonian.
“PUM turut meminta pihak berkuasa dan institusi Islam terus komited mendidik rakyat tentang kepentingan menjaga perpaduan, memelihara keharmonian agama dan kaum serta mengangkat budaya ilmu,” katanya. – UTUSAN










