GEORGE TOWN: Jentera Pakatan Harapan (PH) di Pulau Pinang diarah supaya memulakan persiapan awal bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, persediaan itu telah diputuskan sejak mesyuarat awal Februari lalu dan bukan disebabkan faktor politik semasa mana-mana parti lain.
“PH negeri memberi fokus kepada kekuatan dalaman termasuk penyusunan jentera parti, strategi gerak kerja serta pengukuhan organisasi di semua peringkat.
“Masa berjalan dengan pantas sekali maka kita perlu mulakan persiapan untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang.
“Kami juga telah buat ketetapan untuk mempertahankan pemerintahan di peringkat negeri dan juga peringkat Pusat, itulah misi serta tanggungjawab berat kepada kami semua,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Madani Tahun Baharu Cina anjuran PKR Pulau Pinang di Wisma PKR di sini, hari ini.
Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, keutamaan PH ketika ini adalah memastikan semua jentera parti mula bergerak segera memandangkan tempoh masa sebelum pilihan raya dijangka kurang daripada dua tahun.
“Tahun ini dianggap sebagai tempoh penting untuk memperkukuh kekuatan parti serta memperhebat usaha memperbaiki prestasi pentadbiran kerajaan,” katanya.
yang memberitahu, keyakinan terhadap sokongan rakyat adalah berdasarkan prestasi pentadbiran kerajaan sedia ada di peringkat negeri dan persekutuan.
Dalam pada itu, ketika sidang akhbar, Kon Yeow berkata, keputusan sama ada pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN) akan diadakan serentak atau tidak masih bergantung sepenuhnya kepada keputusan kepemimpinan di peringkat Pusat. – UTUSAN









