GEORGE TOWN: Seorang pesara pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang direman selama lima hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kedudukan melibatkan wang berjumlah RM700,000.
Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 56 tahun itu yang juga merupakan bekas penolong jurutera kanan di sebuah PBT ditahan semalam selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang, kira-kira pukul 1 petang.
“Siasatan awal mendapati, suspek dipercayai menyalahgunakan kedudukannya bagi mendapatkan habuan melalui pemberian kontrak pembekalan serta kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan di bawah PBT berkenaan.
“Perbuatan itu dipercayai melibatkan wang berjumlah kira-kira RM700,000 dan ia berlaku antara tahun 2024 hingga 2025,” katanya di sini, hari ini.
Sumber yang sama berkata, suspek dipercayai menggunakan syarikat milik isterinya sebagai medium untuk memperoleh projek terbabit termasuk melalui proses tender yang berkaitan dengan pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan.
Difahamkan, suspek bagaimanapun telah bersara pada pertengahan tahun lalu dan kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan. – UTUSAN










