PETALING JAYA: Pengunjung kelab malam berumur 61 tahun antara 38 individu ditahan selepas didapati positif dadah menerusi Op Pusat Hiburan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Wilayah Persekutuan, awal pagi tadi.
Operasi yang bermula kira-kira pukul 12.30 malam itu melibatkan 68 pegawai dan anggota AADK dengan tumpuan pada beberapa premis pusat hiburan di sekitar ibu negara yang dipercayai menjadi lokasi penyalahgunaan dadah.
AADK memaklumkan, tangkapan melibatkan individu berumur antara 22 hingga 61 tahun melibatkan 30 lelaki dan lapan wanita yang disiasat di bawah Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Katanya, operasi itu selaras pindaan Akta 283 yang membolehkan tindakan diambil bukan sahaja terhadap penagih, tetapi juga penyalahguna dadah.
“Hasil pemeriksaan mendapati antara dadah dan bahan yang popular diambil dalam premis pusat hiburan ini adalah dalam bentuk minuman yang telah dicampur dengan serbuk dadah atau bahan.
“Anggaran sepaket serbuk dadah atau bahan tersebut dijual dengan harga minimum RM 280,” katanya dalam kenyataan.
AADK turut menegaskan operasi seumpama itu akan diteruskan sebagai sebahagian strategi mengurangkan permintaan dadah selain memastikan individu terlibat diberi akses kepada program rawatan dan pemulihan.
“AADK tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, termasuk pemilik premis yang membiarkan aktiviti penyalahgunaan dadah dan bahan berlaku di premis mereka.
“Selain itu, AADK ingin mengingatkan masyarakat, terutama golongan muda, bahawa hiburan dan keseronokan tidak seharusnya bersandarkan kepada penggunaan bahan terlarang.
“Dadah sintetik yang sering disalahgunakan di pusat hiburan bukan sahaja merosakkan kesihatan mental dan fizikal secara kekal, malah boleh membawa maut akibat dos berlebihan,” katanya. – UTUSAN










