KOTA TINGGI: Seorang pemotong rumput maut apabila motosikal yang dinaikinya dilanggar sebuah lori di Kilometer 34.5 Jalan Kota Tinggi-Kulai, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Mohd. Yasin Abdul Hashim, 27, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, kemalangan jalan raya itu membabitkan motosikal jenis Yamaha 135LC dan sebuah lori Hino.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila lori yang dipandu seorang lelaki berusia 46 tahun membelok kiri tanpa menyedari motosikal mangsa di sebelah kiri dari arah yang sama.
“Kemalangan tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan pegawai perubatan yang hadir di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Yusof berkata, pemandu lori berkenaan pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, ujian saringan air kencing mendapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).
Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










