KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak permohonan usul dibawa oleh Ahli Parlimen blok kerajaan untuk membincangkan isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat terhadap usul yang dikemukakan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) kerana kerajaan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat perkara berkenaan.
Katanya, selepas menerima usul tersebut pada 12 Februari lalu, beliau meneliti isu yang dibawa dan mendapati kerajaan sudah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat Azam.
“Oleh kerana sudah ada jawatankuasa khas dan siasatan sedang dijalankan, saya terpaksa menolak ini,” katanya ketika mempengerusikan persidangan di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Ramkarpal bangkit untuk bertanya mengenai status usul berkenaan.
Susulan keputusan itu, Ramkarpal berpendapat usul tersebut sepatutnya boleh diterima dan dibahaskan walaupun siasatan terhadap Azam sedang dijalankan oleh jawatankuasa khas berkenaan.
Katanya, terdapat keperluan mendesak agar isu melibatkan pegawai tertinggi agensi antirasuah berkenaan dibahaskan di Parlimen.
“Pada pandangan saya, walaupun ada jawatankuasa yang menjalankan siasatan, ia tidak menghalang Dewan ini membincangkannya.
“Ia merupakan suatu isu yang mendapat perhatian utama dan perlu dibincangkan dengan segera kerana melibatkan ketua SPRM. Sebab itu saya kemukakan usul secepat mungkin,” katanya.
Bagaimanapun, Johari berkata, jawatankuasa khas yang ditubuhkan kerajaan perlu diberi ruang untuk menjalankan siasatan.
Katanya, isu tersebut mungkin diterima untuk dibahaskan selepas siasatan yang diketuai oleh Peguam Negara selesai.
“Disebabkan jawatankuasa khas telah ditubuhkan seperti kes-kes lain sebelum ini, kita beri ruang untuk mereka siasat.
“Apa juga keputusan yang diperoleh nanti, mungkin setelah keputusan dicapai oleh jawatankuasa tersebut, saya akan benarkan perbahasan,” katanya. – UTUSAN









