PETALING JAYA: Jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan kerajaan berhubung pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki perlu dipantau badan bebas sama ada melalui Jawatankuasa Parlimen dwipartisan atau tribunal bebas yang mempunyai kredibiliti tinggi.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, cadangan itu bukan bertujuan mempertikai mana-mana pihak tetapi bagi memastikan keputusan siasatan tidak dilihat sebagai ‘kerajaan menyiasat kerajaan’.
Katanya, SPRM adalah institusi yang berdiri atas asas paling penting iaitu kepercayaan rakyat dan tanpa kepercayaan itu, setiap siasatan, pendakwaan dan usaha membanteras rasuah sentiasa dipersoal serta boleh dilihat tidak mempunyai legitimasi moral di mata rakyat.
“Sebab itu, dalam mana-mana negara yang serius memerangi rasuah, integriti institusi lebih penting daripada mempertahan individu.
“Hari ini, apabila wujud siasatan terhadap kepimpinan tertinggi SPRM, persoalan pokok yang perlu dijawab bukan sekadar ‘apa keputusan siasatan’ tetapi sejauh mana proses siasatan itu diyakini bebas, telus dan tiada konflik kepentingan.
“Jika prosesnya sendiri diragui, maka apa juga hasilnya akan tetap dipersoalkan,” katanya katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr. Muhamad Akmal berkata, Azam perlu direhatkan sementara sehingga siasatan berhubung isu pemilikan sahamnya selesai.
Katanya, langkah itu adalah tindakan paling bertanggungjawab ketika siasatan sedang dijalankan bagi menjaga integriti dan kredibiliti SPRM sebagai agensi utama membanteras rasuah.
“Ini adalah amalan standard dalam mana-mana institusi yang mementingkan integriti. Perlu diingat, ini bukan hukuman, tetapi langkah pentadbiran bagi mengelakkan persepsi campur tangan atau konflik kepentingan.
“Kepada Tan Sri Azam, prinsipnya mudah, berani kerana benar. Jika tidak bersalah, rehat sementara bukan sesuatu yang perlu ditakuti.
“Malah, ia memberi ruang kepada siasatan dijalankan dengan lebih bebas dan telus dan sekiranya didapati tidak bersalah, beliau boleh kembali menjalankan tugas dengan mandat moral yang lebih kukuh,” katanya.
Dr. Muhamad Akmal berkata, sekiranya Azam didapati bersalah, proses undang-undang perlu dijalankan tanpa kompromi.
“Rakyat hari ini bukan sekadar mahu melihat rasuah dibanteras, tetapi mahu melihat bagaimana ia dibanteras. Ketelusan bukan pilihan, ia adalah keperluan.
“Kepercayaan rakyat tidak akan datang melalui kenyataan semata-mata tetapi melalui tindakan berani yang menunjukkan institusi lebih besar daripada mana-mana individu,” katanya.
Menurut laporan Bloomberg, Azam didakwa memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, bersamaan 1.7 peratus berdasarkan penyata tahunan syarikat yang difailkan pada 3 Februari tahun lalu.
Laporan itu turut menyebut nama Azam tersenarai dalam daftar pemegang saham yang diselenggara oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Azam didakwa melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang mengehadkan pemilikan saham penjawat awam dalam syarikat diperbadankan di Malaysia kepada tidak melebihi lima peratus modal berbayar atau bernilai RM100,000, mengikut mana yang lebih rendah. – UTUSAN









