Suhakam gesa tubuh RCI siasat pemilikan saham Azam Baki

Suhakam gesa tubuh RCI siasat pemilikan saham Azam Baki

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat isu pemilikan saham yang membabitkan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd. Hishamudin Md. Yunus berkata, jawatankuasa penyiasatan khas yang ditubuhkan sebelum ini tidak mempunyai kuasa statutori yang jelas dan mencukupi untuk menjalankan siasatan terhadap Azam.

“Penubuhan sebuah pasukan petugas tidak mempunyai kuasa seperti RCI yang mampu memanggil saksi, memeriksa mereka di bawah angkat sumpah dan memaksa pengeluaran dokumen.

“Kuasa ini sangat penting bagi memastikan pemeriksaan yang menyeluruh, bebas dan telus terhadap semua dakwaan. Skop siasatan juga perlu bersifat menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Hishamudin berkata, siasatan tidak sepatutnya terhad kepada isu tertentu sahaja sebaliknya perlu merangkumi semua dakwaan serius yang diketahui umum termasuk pemilikan saham dan dakwaan pakatan sulit.

Katanya, pendekatan yang tidak menyeluruh atau bersifat selektif berisiko menimbulkan persepsi berat sebelah dan menjejaskan kredibiliti proses.

“Kebebasan institusi penyiasatan adalah elemen penting dan badan berkenaan perlu mengelakkan sebarang konflik kepentingan sama ada secara nyata atau dari segi persepsi.

“Keyakinan orang ramai bukan sahaja bergantung kepada keadilan proses tetapi kepada penampilan bahawa proses itu dilaksanakan secara adil,” katanya.

Menurut beliau, badan penyiasatan yang dicadangkan tidak seharusnya diketuai oleh Peguam Negara kerana fungsi penyiasatan dan pendakwaan perlu dipisahkan daripada sebarang pengaruh tidak wajar.

“Sebaliknya, RCI wajar dipimpin oleh seorang bekas Ketua Hakim Negara yang bebas dan dihormati, contohnya Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang diiktiraf atas integriti kehakimannya,” katanya.

Sebelum ini, laporan Bloomberg mendakwa Azam memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, bersamaan 1.7 peratus berdasarkan penyata tahunan syarikat yang difailkan pada 3 Februari tahun lalu.

Laporan itu turut menyebut nama Azam tersenarai dalam daftar pemegang saham yang diselenggara oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Azam didakwa melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang mengehadkan pemilikan saham penjawat awam dalam syarikat diperbadankan di Malaysia kepada tidak melebihi lima peratus modal berbayar atau bernilai RM100,000, mengikut mana yang lebih rendah.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa transaksi berkenaan telah diisytiharkan dan saham tersebut telah dilupuskan pada tahun lalu.

Pada masa sama, Azam juga telah memfailkan saman fitnah berjumlah RM100 juta terhadap Bloomberg berhubung laporan berkenaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN