KUALA LUMPUR: Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) tidak gagal meskipun sasaran 80 peratus tahap sara diri (SSL) belum dicapai.
Menafikan kegagalan program itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, kekangan utama pelaksanaannya berpunca daripada penglibatan sektor swasta yang masih tidak mencukupi, mengehadkan peluasan projek ke kawasan tertentu sahaja.
“Smart Sawah skala besar bukan gagal, cuma kemungkinan penglibatan daripada sektor swasta tidak mencukupi untuk meluaskan daripada kawasan-kawasan yang tertentu.
“Kita sedang melihat macam mana untuk meningkatkan perluasan skop ini,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN-Tampin) berhubung punca sasaran SSL iaitu 80 peratus tidak tercapai.
Foong Hin berkata, pihak kementerian sedang mengkaji potensi melaksanakan pembangunan jelapang padi selatan melibatkan Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Katanya, perluasan projek tanaman padi di negeri-negeri tersebut berkemungkinan akan menambah kebergantungan negara.
“Untuk mencapai 80 peratus bukannya senang. Kita melihat memperluaskan skop ini kepada Jelapang Padi selatan.
“Kita juga akan bekerjasama dengan kerajaan Sarawak dan Sabah untuk memajukan padi sawah di negeri itu,” katanya. – UTUSAN








