KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memberi peluang kepada graduan perubatan daripada universiti yang tidak diiktiraf untuk mengambil Peperiksaan Kelayakan Pra-Pendaftaran bagi membolehkan mereka berkhidmat di negara ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, masih terdapat sebahagian graduan yang enggan mengambil peperiksaan tersebut.
“Anak-anak ini berdepan satu kedudukan, di mana mereka perlu mengambil beberapa peperiksaan yang disediakan, tetapi ada di antara mereka enggan berbuat demikian atas pelbagai sebab.
“Kita masih memberi ruang kepada mereka untuk mengambil peperiksaan jika memenuhi kelayakan akademik, kemahiran klinikal atau melalui program di luar negara yang tidak diiktiraf. Ia sedikit sukar, tetapi itulah jalannya,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KKM di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengenai usaha kerajaan membantu graduan perubatan dari universiti tidak diiktiraf kerana sebahagian mereka tidak dapat meneruskan kerjaya dalam bidang perubatan dan berisiko berkhidmat secara tidak sah.
Dzulkefly turut menasihati ibu bapa supaya memastikan anak mereka melanjutkan pengajian di universiti yang diiktiraf.
“Ibu bapa mahu anak mereka menjadi doktor walaupun tidak memenuhi syarat kemasukan sama ada di universiti awam atau swasta di negara ini, lalu menghantar anak ke luar negara dengan perbelanjaan besar.
“Akhirnya, anak itu tidak dapat berkhidmat kerana ijazah mereka tidak diiktiraf,” katanya. – UTUSAN










