MRM persoal percanggahan fakta DBKL

MRM persoal percanggahan fakta DBKL

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Multiracial Reverted Muslims (MRM) memohon agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberikan penjelasan lanjut berhubung percanggahan fakta yang timbul bagi mengelakkan kekeliruan dan salah tafsir dalam kalangan masyarakat.

Pengerusinya, Muhammad Azim Abdullah Suhaimin berkata, penjelasan terperinci amat penting memandangkan terdapat beberapa kenyataan yang menurutnya tidak selari dengan situasi sebenar di lokasi kejadian.

Menurut beliau, sejak awal lagi pihaknya telah mengambil langkah proaktif mendapatkan kepastian berhubung keperluan lesen sebelum menganjurkan aktiviti tersebut.

“Pihak kami pernah hadir ke Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL untuk mendapatkan penjelasan. 

“Maklum balas yang diterima ketika itu menyatakan tiada lesen diperlukan kerana tiada urusan perniagaan dijalankan dan aktiviti dilakukan di ruang awam, bukan di dalam premis perniagaan,” katanya dalam kenyataan.

Azim berkata, sepanjang 14 tahun Street Dakwah dijalankan, tiada larangan rasmi atau kompaun pernah dikeluarkan kepada MRM termasuk pada hari kejadian barang-barang dakwah disita.

“Sekiranya benar berlaku pelanggaran peraturan seperti yang didakwa, MRM sebagai organisasi yang menghormati undang-undang akan mengaku dan membayar kompaun sewajarnya,” katanya.

Mengulas dakwaan bahawa reruai MRM menghalang laluan awam, beliau berkata, lokasi tersebut turut digunakan kumpulan buskers hampir setiap hari selepas aktiviti mereka tamat.

Malah katanya, lokasi sama pernah digunakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan yang menyertai program santai Street Dakwah bersama buskers pada 30 Januari lalu.

“Jika benar lokasi tersebut dikategorikan sebagai menghalang laluan, maka garis panduan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara konsisten dan menyeluruh terhadap semua pihak.

“MRM tidak memohon layanan istimewa, sebaliknya hanya memohon konsistensi dalam penguatkuasaan,” katanya.

Dalam pada itu, MRM turut mempersoalkan kenyataan bahawa pihak berkuasa menunggu selama 30 minit tanpa wakil tampil memberi kerjasama.

Katanya, seorang sukarelawan berada di lokasi selepas selesai urusan ke tandas dan interaksi dengan pegawai DBKL berlaku termasuk membuka rantai keselamatan reruai.

“Saya mempersoalkan bagaimana struktur reruai boleh dialihkan sekiranya tiada wakil di lokasi untuk membuka kunci dan berbincang dengan pihak penguat kuasa.

“Oleh itu, penjelasan rasmi daripada DBKL amat diperlukan bagi memastikan fakta yang tepat sampai kepada masyarakat serta mengelakkan persepsi negatif berpanjangan terhadap mana-mana pihak,” katanya.

Tambahnya, MRM menghormati dan mendaulatkan undang-undang serta tidak berniat memanipulasi isu tersebut menjadi polemik perkauman atau agama.

Dalam pada itu, beliau berkata, MRM turut menyambut baik kenyataan DBKL yang menjelaskan bahawa aktiviti dakwah di ruang awam tidak dihalang, sekali gus mengesahkan bahawa program Street Dakwah boleh diteruskan seperti sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN