BATU PAHAT: MCA terbuka untuk menerima mana-mana ahli baharu termasuklah bekas ahli Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ia susulan perpecahan dalaman yang berlaku dalam Bersatu baru-baru ini.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong bagaimanapun berkata, mereka tidak akan ‘menarik’ mana-mana pihak untuk menyertai parti itu sebaliknya mengguna pakai prinsip menerima dengan hati terbuka.
Selain itu katanya, ramai dalam kalangan ahli Bersekutu Bersatu juga merupakan bekas ahli MCA.
“MCA merupakan satu parti dengan prinsip yang terbuka. Dalam perjuangan memang ada perbezaan pandangan tetapi selagi perjuangan itu disepakati untuk rakyat kita boleh bersama-sama, perkara ini tidak menjadi isu.
“Hati kita terbuka, tangan kita juga terbuka untuk menerima dan bekerjasama dengan, apa yang penting kita bersatu demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Ahli Parlimen Ayer Hitam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng, di sini malam tadi.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata parti itu terbuka menerima semula mana-mana individu kembali menyertai termasuk Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang telah dipecat daripada partinya.
Sementara itu, Ka Siong yang juga Pengerusi MCA Johor turut memberitahu pihaknya sentiasa memastikan jentera parti ini bersiap siaga bagi berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Umum (PRU).
“Di pihak MCA persiapan kita sepanjang masa, bukan dibuat saat-saat akhir. Namun begitu kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi baharu berusia empat tahun, masih ada tempoh sah pentadbirannya.
“Perbincangan tentang perkara itu (agihan kerusi dalam PRN) masih belum dibuat tetapi MCA tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya lanjut.-UTUSAN










