KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Datuk Hanafiah Mat yang berdepan dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukan tidak akan bercuti dan menjalankan tugasnya termasuk sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) seperti biasa.
Beliau yang yang memegang portfolio Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu berkata, keputusan tersebut dibuat selepas menerima arahan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Menteri Besar telah mengarahkan saya supaya meneruskan tugas seperti biasa. Insya-Allah saya akan jalankan tanggungjawab yang diamanahkan dan memastikan segala urusan serta perancangan kerajaan negeri tidak terganggu,” katanya di sini, hari ini.
Hanafiah berkata, komitmennya terhadap masyarakat diteruskan termasuk menganjurkan majlis berbuka puasa seperti kebiasaan pada bulan Ramadan.
“Seperti sebelum ini, saya akan menjemput rakan-rakan media dan komuniti untuk berbuka puasa bersama,” katanya.
Terdahulu, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan menyalahgunakan kuasa dengan mengarahkan dua anak lelakinya bekerja di syarikat milik kerajaan (GLC).
Kesalahan itu didakwa dilakukan ADUN Chukai berusia 66 tahun tersebut pada enam dan lapan tahun lalu.
Semalam, Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri PKR Terengganu, Aiman Wan Alias mahu tindakan tegas dan berprinsip diambil segera dalam kes berkenaan bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi pentadbiran negeri tidak terus terhakis.
Katanya, Exco berkenaan wajar digantung tugas atau sekurang-kurangnya bercuti sementara sepanjang tempoh siasatan dijalankan.
“Langkah ini penting bagi memastikan proses siasatan berjalan secara bebas, telus serta tanpa sebarang pengaruh,” katanya. – UTUSAN










