Masjid Abidin agih 1,000 pek bubur lambuk setiap hari

Masjid Abidin agih 1,000 pek bubur lambuk setiap hari

ORANG ramai beratur mendapatkan bubur lambuk yang diagihkan pengurusan Masjid Abidin, Kuala Terengganu, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Bubur lambuk di Masjid Abidin di sini, kekal menjadi juadah dinanti-nantikan setiap kali menjelang Ramadan, malah program agihan percuma itu dilaksanakan secara konsisten sejak lebih sedekad lalu.

Eksekutif Kanan Masjid Abidin, Nor Arina Abdul Rahman berkata, pihaknya menyediakan antara 600 hingga 1,000 pek bubur lambuk setiap hari untuk diagihkan kepada orang ramai sehingga 27 Ramadan.

Katanya, program tahunan itu mendapat sokongan pelbagai agensi yang mengambil peluang membuat infak dan menyumbang sempena bulan penuh keberkatan ini.

“Kita agihkan antara 600 hingga 1,000 pek bubur lambuk setiap hari. Sambutan yang diterima sangat menggalakkan daripada masyarakat setempat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut Nor Arina, proses penyediaan bubur lambuk dikendalikan pasukan khas yang diketuai Ketua Tukang Masak, Zabedah Samad bersama sembilan pembantu lain.

Katanya, antara keistimewaan bubur lambuk Masjid Abidin adalah penggunaan ikan dalam kuantiti yang banyak selain campuran sayur pucuk paku segar yang memberikan rasa tersendiri dan menjadi identiti resipi tersebut.

“Proses memasak bermula seawal pagi dan siap sepenuhnya kira-kira pukul 11 pagi sebelum dibungkus untuk diagihkan kepada orang ramai. Biasanya hanya mengambil masa kira-kira 20 minit sahaja untuk habis diagihkan.

“Program agihan bubur lambuk ini bukan sahaja mencerminkan semangat kebersamaan dan gotong-royong dalam kalangan sukarelawan, malah menjadi tradisi tahunan yang mengeratkan hubungan antara pihak masjid dan masyarakat setempat sepanjang Ramadan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN