PETALING JAYA: Usaha meningkatkan perbelanjaan pelancong dan memaksimumkan limpahan ekonomi kepada negara menjadi antara fokus utama kerajaan dalam pelaksanaan Visit Malaysia Year 2026 (VM2026), sejajar dengan sasaran menjana RM329 bilion hasil pelancongan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pendekatan itu dibincangkan secara mendalam dalam beberapa sesi libat urus bersama pemain industri antarabangsa sempena ASEAN Tourism Forum 2026 yang berlangsung di Cebu.
Katanya, pertemuan tersebut melibatkan wakil syarikat terkemuka Amerika Syarikat (AS) termasuk Visa, Marriott International, Airbnb dan Expedia, yang diatur menerusi Ketua Wakil Majlis Perniagaan AS-ASEAN di Filipina, Herminio Bagro III.
Katanya lagi, syarikat-syarikat berkenaan menyuarakan sokongan kukuh terhadap VM2026 dan mengemukakan pelan masing-masing untuk memperluas kerjasama dengan Malaysia, khususnya dalam merancakkan perbelanjaan pelawat asing serta meningkatkan daya saing industri pelancongan tempatan.
“Saya merakamkan penghargaan atas komitmen yang ditunjukkan dan turut membangkitkan beberapa keutamaan kementerian. Pihak terlibat juga diminta mengemukakan cadangan bersasar bagi membantu pembentukan dasar pelancongan negara yang lebih berkesan,” katanya menerusi kenyataan.
Tiong berkata, perbincangan memberi tumpuan kepada keseimbangan antara kepentingan nasional dan keperluan pelawat, dengan penekanan kepada usaha meningkatkan nilai perbelanjaan setiap pelancong bagi mencapai sasaran hasil RM329 bilion.
Katanya, antara cadangan utama yang dibincangkan ialah penyediaan alternatif pembayaran kepada pelawat yang tidak mahu menggunakan kad kredit peribadi, termasuk penggunaan kad debit prabayar atau stored-value card khusus untuk perbelanjaan di Malaysia.
“Penyelesaian pembayaran yang lebih fleksibel dan selamat bukan sahaja memudahkan pelawat, malah berpotensi menggalakkan perbelanjaan, memanjangkan tempoh penginapan serta meningkatkan aliran pendapatan kepada peniaga dan pengusaha tempatan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan turut memberi perhatian kepada keperluan mewujudkan piawaian operasi dan pengurusan yang jelas bagi penginapan sewaan jangka pendek, sejajar dengan perubahan corak pelancongan global dan peningkatan permintaan terhadap penginapan alternatif.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan subsektor berkenaan berkembang secara tersusun, melindungi hak pelawat serta memelihara keharmonian komuniti setempat, khususnya di kawasan kediaman bertingkat tinggi.
Dalam masa sama, Tiong berkata, semakan terhadap peraturan sedia ada termasuk perundangan berkaitan industri pelancongan sedang diberi perhatian bagi memastikan ia lebih komprehensif, praktikal dan menyokong pertumbuhan industri dalam jangka panjang.
Beliau turut memaklumkan maklum balas daripada pemain industri menunjukkan trend peningkatan tempahan serta pertambahan tempoh penginapan pelawat di Malaysia, sekali gus menyokong usaha menarik 47 juta ketibaan pelancong menjelang VM2026.
“Malaysia mengalu-alukan semua pelawat. Tanggungjawab kerajaan adalah memastikan pengalaman mereka berjalan lancar dan selamat dengan menutup jurang kelemahan, memudahkan perjalanan serta melindungi hak pelancong,” katanya-UTUSAN










