KKM tidak bertolak ansur pengusaha jejaskan kesihatan awam

KKM tidak bertolak ansur pengusaha jejaskan kesihatan awam

DZULKEFLY Ahmad merasmikan majlis sambutan Hari Kanser Sedunia 2026 di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka hari ini. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan amaran tegas kepada pengusaha makanan dan minuman yang mengamalkan tindakan tidak bertanggungjawab sehingga boleh membahayakan kesihatan awam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, KKM tidak akan berkompromi terhadap sebarang amalan yang mendedahkan orang ramai kepada risiko serius, termasuk keracunan makanan.

Menurutnya, semua pengusaha makanan dan minuman perlu sentiasa mematuhi peraturan.

“Peringatan telah diberikan berulang kali sebelum ini. Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi kerana perbuatan yang tular sebelum ini secara langsung telah menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

“Kami tidak akan bertolak ansur terhadap amalan yang sangat tidak bertanggungjawab yang membahayakan orang ramai.

“Tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan dengan tegas tanpa kompromi jika berlaku pelanggaran undang-undang keselamatan makanan dan syarat yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kanser Sedunia 2026 di sini, hari ini.

Dzulkefly berkata, kementerian telah lama menekankan kualiti dan keselamatan makanan melalui pelbagai inisiatif, termasuk program Bersih, Sihat dan Selamat (BeSS), berserta usaha penguatkuasaan berterusan.

“Walaupun pelbagai pendekatan telah dilaksanakan termasuk penguatkuasaan, masih terdapat segelintir pengusaha yang menjejaskan imej industri sedangkan ramai yang mematuhi peraturan dengan ketat dan serius menjaga keselamatan makanan. Ini sangat mengecewakan,” katanya.

Beliau berkata, pegawai penguatkuasa akan terus mengambil tindakan tegas termasuk mengeluarkan kompaun dan penalti lain terhadap sebarang pelanggaran undang-undang, terutamanya yang melibatkan keselamatan makanan.

Semalam, tular sebuah video di aplikasi Facebook, seorang pejalan kaki mendakwa melihat seorang pekerja restoran nasi kandar mencuci makanan yang tidak dimakan seperti ayam, kambing, dan tauhu yang kemudiannya disusun ke dalam dulang.

Individu tersebut mendakwa apabila ditegur, pekerja itu mengakui sisa makanan sedang dibasuh untuk digunakan semula.

Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) dalam kenyataan memaklumkan premis itu telah diarah tutup selama 14 hari mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983, serta dikenakan notis kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Majlis Bandaraya Seremban (MBS) turut mengeluarkan tiga kompaun berjumlah RM750 kepada pemilik perniagaan antaranya kerana kesalahan menjalankan perniagaan tanpa kebenaran.

Dua kesalahan lagi adalah mempamerkan iklan tanpa kebenaran dan tidak menjaga kebersihan serta tiada jadual pembersihan tandas. –  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN