Tumpu usaha tambah baik hospital, fasiliti pusat kesihatan awam - Utusan Malaysia

Tumpu usaha tambah baik hospital, fasiliti pusat kesihatan awam

DR. ZALIHA MUSTAFFA (kanan) mengagihkan buah limau menjelang sambutan Tahun Baharu Cina diserikan dengan tarian singa di U Central, Bandar Utama, Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Kementerian Kesihatan memberi fokus terhadap usaha penambahbaikan hospital dan fasiliti di semua pusat kesihatan di seluruh negeri.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustaffa berkata, setakat ini tiada perancangan untuk membina hospital kerajaan yang baharu, sebaliknya akan lebih memberi keutamaan terhadap pembinaan dan penambahbaikan infrastruktur sedia ada.

“Setakat ini untuk pembangunan apa yang kita fikirkan ialah akan teruskan yang masih dalam pembinaan. Jadi, buat masa ini kita belum memikirkan pembinaan hospital baharu.

“Kita akan lebih fokus terhadap meningkatkan fasiliti di hospital, pusat kesihatan dan fasiliti kesihatan termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Sebenarnya kita sudah terima separuh daripada yang diperuntukkan tapi sesi pembentangan Parlimen yang seterusnya nanti akan ada pembentangan bajet yang baharu.

“Jadi ,kita akan lihat nanti berapa jumlah yang kita akan dapat lebih kurang atau sama daripada apa yang diputuskan sebelum ini,” katanya ditemui selepas mengedarkan buah limau kepada orang awam sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Plaza U Sentral, Segamat, di sini hari ini.

Penjelasan beliau turut menjawab persoalan mengenai perkembangan bajet RM36.1 bilion yang diperuntukkan kepada kementerian tersebut dalam pembentangan bajet 2023.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Sekijang itu turut menjelaskan pihaknya tidak menjangkakan sebarang kenaikan kes Covid-19 pada Tahun Baharu Cina ini.

“Walau bagaimanapun, pihak kementerian akan terus memantau secara rapat perkembangan kes Covid-19 seluruh negara setiap hari.

“Kita akan memantau secara rapat apa sahaja berkait dengan Covid-19. Kita ada pengalaman dengan perayaan sebelum ini dan terakhir Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), walaupun kita jangka ada peningkatan tetapi tiada.

“Kes Covid-19 kini terkawal. Jumlah terakhir kes menurun kepada tiga angka, iaitu kekal 500,” tambahnya. –  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya