ALOR SETAR: Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menjelaskan, teguran yang dibuatnya dalam program parti baru-baru ini adalah secara umum tanpa menyerang atau menyindir Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin.
Menurut Menteri Besar Kedah itu, peringatan yang disampaikan dalam program dalaman Pas berkenaan telah disalah erti dan dimanipulasi pihak tertentu sehingga menimbulkan dakwaan tidak tepat.
Beliau berkata, tidak wajar kenyataan itu dikaitkan sebagai sindiran atau serangan terhadap Hashim, sedangkan ucapan itu disampaikan secara terbuka kepada ahli-ahli parti dalam program berkenaan.
“Saya kesal apabila teguran yang dibuat secara umum, termasuk ditujukan kepada diri saya sendiri disalah tafsir dan video berkenaan dipotong sebahagiannya untuk membawa naratif negatif.
“Kena dengar ucapan saya dari awal sampai habis, baru faham maksud sebenar yang ingin disampaikan. Teguran umum saja, kalau ada yang tak betul, perlu diperbetul, kalau salah perlu diberitahu apa dan di mana salahnya. Apa yang tular hanyalah video yang disunting. Sudah tentu ada agenda tertentu terhadap saya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhammad Sanusi mengulas dakwaan beliau ‘menyerang’ Mursyidul Am Pas susulan penularan video ceramahnya ketika program Liqa’ ul-Fikri Pemuda Pas Perlis pada 26 Januari lalu.
Tambah beliau, rakaman video tular itu tidak menggambarkan keseluruhan konteks perbincangan dalam program berkenaan yang bersifat tertutup dan khusus kepada ahli Pas sahaja.
“Liqa’ ul-Fikri ini adalah program dalaman untuk membina kesatuan fikiran dalam kalangan ahli Pas, membincangkan isu semasa serta memperkukuh tarbiah teras perjuangan parti. Ia bukan program terbuka untuk umum,” jelasnya.
Tambah beliau, kenyataan itu dibuat dalam konteks sesi muhasabah dan pengukuhan kefahaman ahli terhadap disiplin serta adab berjemaah dalam Pas sebagai sebuah gerakan Islam.
“Tak ada serangan kepada sesiapa. Ini medan tegur-menegur, membetulkan salah tanggapan atau persepsi, membaharui naratif perjuangan, membugar semangat perjuangan dan menyampaikan mesej terkini pimpinan kepada ahli di bawah. Perkara seperti ini tidak sesuai diucapkan secara terbuka kepada khalayak,” katanya.
Tambah beliau, antara fokus perbincangan dalam program itu adalah Perlembagaan Pas pindaan 2025, khususnya Fasal 15A berkaitan keberhentian ahli bagi ahli badan perundangan, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen, yang memerlukan penjelasan terperinci kepada ahli.
Katanya, isu tersebut berkait dengan kes tiga ADUN Pas di Perlis yang dibincangkan secara mendalam dalam program dalaman itu.
Ujar Muhammad Sanusi, tindakan mengaitkan gambar beliau bersalaman dan mencium tangan Hashim pada pemukiman parti di ibu negara dengan insiden video tular berkenaan pula hanya permainan politik sempit pihak tertentu. – UTUSAN










