PETALING JAYA: Seorang lelaki yang ditahan dalam kejadian amuk di Bandar Teknologi Kajang, dekat sini pada Jumaat lalu, akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kajang, esok.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner, Naazron Abdul Yusof berkata, suspek akan didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
“Suspek juga akan dituduh di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan berkaitan khianat dengan api,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
Menurutnya, siasatan kes itu sudah lengkap selepas suspek ditahan dan direman bagi membantu siasatan.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki bertindak ganas di sebuah rumah di Bandar Teknologi Kajang membabitkan bekas teman wanitanya berusia 40-an serta ibu mangsa berusia 80 tahun.
Dalam kejadian itu, sebuah kenderaan milik mangsa dibakar oleh suspek menyebabkan mangsa melecur di badan.
Suspek diberkas pada hari sama ketika bersembunyi di sebuah unit pangsapuri di Bandar Saujana Putra dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan. – UTUSAN








