KUALA LUMPUR: Malaysia memasuki 2026 dengan ekonomi yang kekal berdaya tahan meskipun berdepan ketidaktentuan persekitaran global, kata Menteri Kewangan II.
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, berdasarkan unjuran rasmi, pertumbuhan ekonomi negara dijangka berkembang antara 4.0 hingga 4.5 peratus, disokong oleh permintaan domestik yang stabil serta aktiviti pelaburan yang berterusan.
“Bagaimanapun, penilaian semasa pasaran menunjukkan kadar pertumbuhan ekonomi berpotensi mencecah 4.5 hingga 5.0 peratus pada 2026.
“Ini mencerminkan pengukuhan permintaan dalam negeri serta momentum pelaburan yang terus meningkat, selaras dengan jangkaan kementerian dan institusi antarabangsa,” katanya mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Gala Ulang Tahun ke-50 AFFIN dan Jamuan Makan Malam Tahun Baharu Cina 2026.
Beliau berkata, dari segi harga, inflasi dijangka kekal sederhana dan terkawal sejajar dengan objektif dasar monetari.
“Bank Negara Malaysia (BNM) pula dijangka mengekalkan pendirian dasar yang menyokong pertumbuhan ekonomi, di samping memastikan kestabilan harga dan keteguhan sistem kewangan.
“Namun demikian, risiko luaran masih perlu diberi perhatian termasuk ketegangan geopolitik, perubahan dasar perdagangan global serta ketidaktentuan pasaran kewangan antarabangsa yang memerlukan pengurusan risiko berdisiplin dan tadbir urus yang kukuh.
“Dalam mengurus pertumbuhan ekonomi, kerajaan kekal komited terhadap disiplin fiskal dan kestabilan sistem kewangan.
“Pembaharuan struktur dilaksanakan secara berperingkat dan berhemah dengan mengambil kira keadaan pasaran, kesejahteraan rakyat serta keupayaan institusi kewangan untuk menyokong peralihan ini,” ujarnya.
Dalam konteks berkenaan, beliau berkata, sektor perbankan terus memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai penyedia pembiayaan, malah sebagai penstabil sistem kewangan, pemudah cara pelaburan dan tonggak keyakinan pasaran.
Ujarnya, dalam kerangka itu, institusi seperti Kumpulan AFFIN memainkan peranan penting sebagai pengantara kewangan.
“Ia menyokong kestabilan sistem, memperluas pembiayaan produktif serta memastikan aliran kredit terus mengalir kepada ekonomi sebenar.
“Tanggungjawab ini menuntut pengurusan risiko yang kukuh, pematuhan yang tinggi serta pembuatan keputusan yang berdisiplin.
“Di bawah agenda Malaysia MADANI, tadbir urus yang baik merupakan asas kepada keyakinan pasaran. Tanpa tadbir urus yang kukuh, pertumbuhan tidak dapat dikekalkan dan risiko sistemik boleh muncul.
“Sektor perbankan bukan sekadar pemacu keuntungan. Ia merupakan instrumen untuk mengagihkan modal secara bertanggungjawab, mengurus risiko dengan berdisiplin serta membantu merapatkan jurang dalam ekonomi,” katanya. – UTUSAN







